Malaysia Dateline

Ada individu naif yang hina tentera, kata Mohamad

Kementerian Pertahanan hari ini berpandangan rakyat negara ini yang amat naif dan cetek kefahaman berkaitan fungsi sebenar anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan negara antara punca beberapa kenyataan dibuat menghina anggota keselamatan negara.

Menterinya Mohamad Sabu berkata, Kerajaan dan Kementerian Pertahanan berusaha membangunkan Kertas Putih Pertahanan (KPP) dengan harapan dapat memberi pencerahan dan kefahaman lebih jelas kepada masyarakat berkaitan pertahanan negara.

Katanya lagi, rakyat perlu menyedari keamanan negara hari ini adalah kerana anggota keselamatan khususnya tentera yang menjalan tugas mengawal wilayah negara di daratan, lautan dan udara setiap masa.

” Kementerian Pertahanan dan ATM juga melaksanakan diplomasi pertahanan bersama negara-negara jiran yang berkepentingan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara. Antara aktiviti diplomasi pertahanan termasuklah mesyuarat berkala, kunjungan hormat, pertukaran pegawai, kursus dan latihan, serta eksesais ketenteraan. Hakikatnya tentera kita sentiasa mempunyai tugasan walaupun negara kita berada dalam keadaan aman.

“Tentera juga menjadi tulang belakang kepada operasi menyelamat apabila negara kita mahupun negara jiran menghadapi krisis atau bencana. Mereka juga berada di serata dunia berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk misi keamanan sejagat.

“Begitu juga aset-aset ketenteraan yang bukan sahaja digunakan untuk pertahanan, tetapi juga untuk pelbagai operasi semasa aman. Yang jelas dan pasti, ATM adalah barisan hadapan kerajaan bagi menangani pelbagai isu keselamatan di peringkat domestik dan antarabangsa,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad lagi, apabila negara aman, rakyat dapat melakukan aktiviti harian dengan selamat tanpa perlu risau ditembak atau dibom seperti sesetengah negara lain.

“Pelabur luar dan pelancong juga akan datang ke Malaysia apabila mengetahui negara ini dalam keadaan aman. Aktiviti pembangunan negara juga dapat berlangsung tanpa halangan. Inilah sumbangan Kementerian Pertahanan dan ATM yang ramai tidak sedari,” ujarnya lagi.

Mohamad juga berkata, sempena sambutan bulan kebangsaan ini, beliau menegaskan bahawa kemerdekaan, kedaulatan dan keamanan negara yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan anggota tentera yang sanggup menggadai nyawa mereka.

“Marilah sama-sama kita berdiri teguh dibelakang mereka. Kita boleh mengkritik, tapi jangan pula sampai menghina.” ujarnya.