‘Ada jadi kaya dapat duit bawah meja selepas bergelar wakil rakyat’

Oleh ARIF ATAN

“Bukan elaun dan gaji sahaja diambil tetapi juga duit bawah meja.”

Itu kata Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menggambarkan realiti politik di Malaysia apabila wujud ahli politik yang merangkul kemewahan luar biasa selepas bergelar wakil rakyat.

Beliau menegaskan wakil rakyat sepatutnya menjadikan jawatan tersebut untuk berkhidmat dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Tegas Ahli Parlimen Kota Raja itu, pemimpin di negara maju terlibat dalam perniagaan sebelum menceburi politik.

“Kalau nak kaya, kena meniaga. Di negara lain, mereka berniaga dahulu sebelum berpolitik seperti bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Di Malaysia pelik sikit. Masuk politik, miskin tetapi bila menang jadi kaya. Bukan elaun dan gaji sahaja diambil tetapi juga duit bawah meja,” dipetik Johorkini.

Mohamad berkata demikian ketika berucap merasmikan Bilik Operasi Utama DUN (BOUD) N21 Parit Yaani di Tongkat Pechah semalam.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dan bersarapan bersama penduduk tempatan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hassan telah menunjukkan nilai pengorbanan seorang wakil rakyat dengan meninggalkan kerjaya dalam bidang pendidikan untuk menceburkan diri dalam politik.

“Jiwanya (Aminolhuda) bersama rakyat dan saya yakin dia boleh pertahankan kerusi di DUN ini (Parit Yaani).

“Cikgu Aminolhuda kalau mahu hidup senang memang mudah tetapi dia pilih jalan begini,” kata Mohamad lagi.

Untuk rekod, Aminolhuda yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor merupakan penyandang DUN Parit Yaani selama dua penggal berturut-turut sejak 2013.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRN Johor pada 12 Mac manakala 8 Mac ditetapkan untuk pengundian awal.

Setakat 21 Februari lalu, SPR Johor memaklumkan sebanyak 778 borang pencalonan sudah terjual.

Mohamad Sabu Aminolhuda Hassan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor AMANAH PH
Mohamad ketika berucap merasmikan Bilik Operasi Utama DUN N21 Parit Yaani di Tongkat Pechah. Turut kelihatan Aminolhuda Hassan (kanan).