Ada keluarga sakit? Perlukan kerusi roda? – Rina tanya orang Sepang menjelang PRU-15

Oleh ARIF ATAN

“Ada keluarga sakit? Ibu? Ayah? Atau adik-beradik? Perlukan kerusi roda?”

Itu antara kapsyen tertera pada poster ‘Kasih Prihatin Sepang’ menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Poster dengan ungkapan “inisiatif Datuk Seri Rina Mohd Harun” itu dikongsikan di Facebook rasmi Ketua Srikandi Bersatu berkenaan.

Terpampang sama lambang Perikatan Nasional (PN), poster itu juga lengkap dengan Kod QR bagi tujuan pendaftaran untuk ‘inisiatif’ tersebut.

Turut dihebahkan Rina yang juga Ketua Srikandi Bersatu Sepang itu ialah “Prihatin Usahawan Sepang” dengan tawaran khemah percuma buat penduduk di Parlimen tersebut.

“Nak tambah pendapatan? Nak berniaga? Tapi tiada khemah? Jom kami bantu anda!” terpampang di poster itu juga gambar khemah tersebut dengan ‘bercopkan’ – “Sumbangan YB Datuk Seri Rina Mohd Harun”.

Walaupun rata-rata komentar bagi kedua-dua hantaran di Facebook wanita berkenaan dua program itu memuji, ada juga respons bernada sindiran.

“Dah mula kempen (PRU-15) nampak. Tak banjir ke tu?” kata seorang warganet.

Namun, ada penyokong Rina membalas sindiran itu dengan memberitahu bahawa bekas Ketua Puteri Umno Sepang sebelum menyertai Bersatu itu “sudah membantu rakyat Sepang bertahun dah bukan kempen semata-mata”.

Tumpuan Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu di Sepang seolah-olah mengesahkan spekulasi dia akan menjadi calon di kerusi Parlimen itu pada PRU-15.

Bekas Ahli Parlimen Titiwangsa yang ketika itu mewakili Pakatan Harapan (PH) menerusi Bersatu juga baru-baru ini menyerahkan bot penyelamat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang serta berjumpa dengan ratusan masyarakat India kawasan itu sempena program Deepavali.

Rina serah sumbangan kotak makanan di Sepang sempena Deepavali.

Berserta tanda pagar #ToWorkToEngage dan #PrihatinSepang dalam setiap hantaran di media sosial rasminya, Rina, 49, juga adalah anak tempatan kawasan itu.

Akhir tahun lalu, nama Rina ‘meletup’ apabila menjadi bahan sindiran orang ramai sehingga sohor kini di Twitter ekoran aksinya menggunakan penyembur air (water jet) pada lantai yang tiada lumpur banjir.

Sebelum itu, penampilan Rina dengan tubuh yang langsing dengan kelihatan semakin muda, bergaya dan jelita meraih perhatian warganet.

Namun, dia kemudiannya dikecam netizen sama ada mahu jadi model atau menteri selepas seorang pereka fesyen berkongsikan beberapa gambar di sebalik tabir photoshoot menerusi Instagram menunjukkan Rina mengenakan busana baju kurung.

Untuk rekod, P.113 Sepang disandang pemimpin AMANAH, Mohamed Hanipa Maidin sejak dua penggal bermula PRU 2013.

Peguam yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu dilapor digugurkan daripada bertanding PRU-15.

Bagaimanapun, Hanipa menafikan spekulasi yang mengaitkan tahap kesihatannya sebagai faktor beliau tidak lagi dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen diwakilinya.

Pada 2016, Hanipa menjalani pembedahan kerana pendarahan otak selepas rakan-rakan ahli Parlimen perasan beliau tidak bergerak dari tempat duduknya di Parlimen semasa rehat.

Dua tahun selepas itu ketika pentadbiran kerajaan PH, Hanipa dilapor mendapat serangan vasovagal.

Beliau pada 9 Julai 2018 semasa menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) rebah dari pentas ketika perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Dataran Putra, Putrajaya.

Baca juga Bella didera: Rina sekali lagi dikecam warganet, dianggap baru sedar dari lena selepas TMJ bagi ‘salam’

Baca juga Menjijikan! Ada ulat sampah dalam kereta rupanya