Malaysia Dateline

Ada ketirisan dalam program basmi kemiskinan bandar, menteri perlu jelaskan laporan audit negara

Sekali lagi, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan kepincangan dalam pengurusan agensi dan projek bawah kerajaan BN-Bersatu-Pas.

Antara pembaziran dan kelemahan tadbir urus telah dikenal pasti dalam program pembasmian kemiskinan, pengagihan dana MAIWP, pembinaan sekolah, pembangunan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur dan penaiktarafan Parlimen yang tertangguh.

Tetapi, seperti biasa, menteri-menteri yang bertanggungjawab hanya membisu tanpa sebarang penjelasan.

Sepatutnya, Menteri-menteri berkaitan menjelaskan kepada umum apakah langkah yang telah atau bakal diambil untuk mengelakkan masalah sama berulang.

Menurut LKAN, Yayasan Taqwa yang bertanggungjawab mengagihkan dana MAIWP untuk tujuan dakwah, kebajikan dan pendidikan, didapati hanya berjaya mencapai 13 daripada 47 sasaran KPI.

Pelan strategik tidak dibentang kepada Lembaga Pemegang Amanah dan hanya satu pengauditan dilakukan sepanjang 2019 hingga Mac 2022.

Menteri Hal Ehwal Agama Islam daripada Pas, Idris Ahmad, langsung tidak bersuara mengenai pendedahan LKAN ini.

Turut didedahkan ketirisan dalam Program Pembasmian Kemiskinan Bandar. Program yang bernilai RM201.94 juta ini, didapati alami pembayaran tidak teratur sebanyak RM0.75 juta dan kerugian wang awam RM0.62 juta.

Menurut LKAN, bantuan yang diluluskan tidak diagihkan secara seimbang dan tepat kepada golongan sasar iaitu masyarakat miskin. Kenapakan Reezal Merican, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan masih membisu?

Satu lagi projek yang didedahkan dalam LKAN adalah Projek Kawalan Trafik Udara Baharu (KL ATCC).

Kos akhir projek ini iaitu RM666.32 juta telah melebihi siling peruntukan, kelemahan pengurusan penyelenggaraan menyebabkan kerugian kepada kerajaan, malah sijil Final Acceptance Test dikeluarkan sebelum semua subsistem beroperasi.

Ini adalah isu-isu yang serius dan kegagalan Wee Ka Siong, sebagai Menteri Pengangkutan, dalam menjawab isu-isu ini cukup mengecewakan.

Menteri-menteri harus lebih proaktif berkaitan isu-isu ketirisan dan kelemahan tadbir urus.

Adalah menjadi tanggungjawab utama Kabinet untuk memastikan wang rakyat tidak diseleweng dan ditadbir dengan baik.

Hanya pengurusan kerajaan yang baik dapat memulihkan imej Malaysia, yang telah tercalar dengan pelbagai skandal korupsi sehingga digelar “kleptokrasi” ketika pentadbiran BN di bawah Najib Razak sebelum ini.