Malaysia Dateline

‘Ada murid sampai tak pergi sekolah sebab tak ada baju cantik’, ibu luah pertandingan pakaian beragam membebankan

Seorang ibu meluahkan rasa kurang senang dengan pertandingan pakaian beragam yang dianggap sebagai penyebab segelintir murid tidak mahu ke sekolah gara-gara tidak mempunyai baju cantik seperti rakan lain.

Wanita itu berkata, pertandingan pakaian tercantik pada hari kemerdekaan seperti sudah menjadi kewajiban di tadika mahupun di sekolah-sekolah sehingga membebankan poket ibu bapa yang ‘tidak berapa senang’ untuk menyediakan baju beragam untuk anak mereka

Luahan tersebut ada dikongsikan di laman Facebook Redaksi.com. Menurut wanita berkenaan, pada awalnya anak-anak ini tidaklah bersungguh tentang baju namun apabila diejek dan ditertawa rakan lain, mereka akan jadi malu untuk ke sekolah.

“Anak-anak ini asalnya tidak lah beria sangat pasal baju-baju ni. Lagi-lagi anak orang yang kurang berkemampuan. Tapi bila tengok kawan-kawan pakai, masing-masing pula tak tahu mana belajar ilmu menunjuk, mengajuk, mentertawakan kawan-kawan tak pakai baju bertemakan warna-warna bendera ini, auto lah terasa hati dan terus rasa malu nak ke sekolah.

“Sekolah pula, dah macam jadi kewajipan buat pertandingan pakaian tercantik ni. Akhirnya apa yang terpasak dekat kepala otak anak-anak ini adalah 31 Ogos hari melaram baju. Erti merdeka sebenar? Jawapannya tak tahu. Sejarah kemerdekaan pun tak dapat jawab,” katanya.

<em>Gambar sekadar hiasan<em>

Wanita itu juga menambah, sekolah sepatutnya menganjurkan lebih banyak aktiviti yang boleh menambah ilmu tentang sejarah kemerdekaan negara seperti pertandingan mewarna, kuiz kemerdekaan, atau mengadakan tayangan layar putih asalkan tidak membebankan kewangan ibu bapa.

Menurutnya jika ibu bapa itu mempunyai kewangan yang kukuh tidak mengapa, tetapi jika ibu bapa itu langsung tidak mampu membeli baju mengikut tema ditetapkan sekolah, terpaksa juga mereka menggunakan wang yang ada untuk memenuhinya.

Baca juga: Terbaru peniaga tunjuk keadaan Malakat Mall penuh dengan pengunjung, mana ada kosong!

Baca juga: MAIWP bongkar sisi gelap pemohon zakat, dapat aduan sedang susah tapi tinggal di kondo mewah