Ada parti guna masjid untuk serang parti lawan di Sungai Besar

Ada parti guna masjid untuk serang parti lawan di Sungai Besar

 

Walaupun tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar sudah berakhir tengah malam tadi tetapi nampaknya tidak bagi pihak pengurusan Masjid Jamek Makmuriah.

Sementara menantikan solat Subuh berjemaah dimulakan sebentar tadi, skrin elektronik bersebelahan mimbar masjid sempat menayangkan paparan yang dilihat berbaur provokasi.

Imej yang asalnya merupakan satu sidang media dihadiri sekumpulan Ahli Parlimen DAP diletakkan bersama ungkapan “Haram sokong pihak tolak undang-undang Islam.”

Kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman berserta wajahnya itu juga dinyatakan telah dipetik dari akhbar Berita Harian bertarikh 1 Jun lalu.

Sementara itu, doa Qunut Nazilah yang sunat dibacakan ketika umat Islam ditimpa musibah turut beberapa kali dibacakan.

Dalam perkembangan berkaitan, puluhan kertas bersaiz A4 berwarna kuning kelihatan bertaburan  di bahagian luar pintu utama masjid tersebut.

Terpampang ayat “Keluarga Komunis Malaysia” dengan ungkapan “Undi Pan = Undi DAP = Undi Komunis”.

Gelaran “Pan” yang sebelum ini kerap diguna pihak Umno dan Pas sebagai merujuk kepada Amanah itu menyaksikan mesej provokatif mengaitkan parti diterajui Mohamad Sabu itu dengan DAP dan komunis.

Seramai tujuh pemimpin DAP serta bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin kononnya mempunyai hubungan persaudaraan dengan bekas Setiausaha Agung dan Ketua Umum Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya melarang mana-mana pihak menaikkan sebarang bentuk medium yang menyalahi peraturan SPR.

Hari ini seramai 42,655 pemilih bakal membuang undi dengan 67.16 peratus daripada mereka merupakan pengundi Melayu manakala Cina 30.70 peratus, India 1.92 peratus serta lain-lain 0.23 peratus.

COMMENTS

Wordpress (0)