Malaysia Dateline

Ada pemimpin Umno yang baik boleh dibuat kawan?

Kalau disebutkan sekali lagi, pasti ada yang berkata ia satu pengulangan, atau klise. Namun demikian, itulah hakikatnya tiada kawan dan lawan yang kekal dalam politik!

Perkembangan politik di negara kita boleh dijadikan contoh. Perubahan kerajaan dari BN kepada PH pada 9 Mei 2018, kemudian dari PH kepada PN, 24 Februari 2020 membuktikan hal lawan menjadi kawan, dan kawan menjadi lawan.

Sebagai contoh individu, pemimpin PKR (Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan Amanah (Mohamad Sabu) boleh bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad menentang pasukan BN yang diketuai Dato’ Sri Najib Tun Razak pada PRU14.
Kemudian, PH dikhianati rakan-rakan seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sehingga tumbang tanpa PRU. Muhyiddin dan Azmin kini menjadi lawan PH yang tegar.

Menjelang PRU15, hal klise ini akan berlaku lagi.

Pada 8 Mac lalu, PH yang bertukar menjadi pembangkang selepas 24 Februari 2020, telah memulakan proses rundingan kerusi bagi menghadapi PRU15.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PH turut mengambil kira kerusi untuk parti-parti sekutu lain.
Majlis Presiden PH, kata Anwar, telah memutuskan beberapa perkara, termasuk kerjasama jentera pilihan raya, memulakan rundingan kerusi melibatkan parti komponen PH terutamanya, dan juga mengambil kira peruntukan untuk parti rakan yang lain.

Dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Anwar walau bagaimanapun mengatakan pihaknya akan melantik seorang jurucakap.

Sidang media itu diadakan selepas pelancaran inisiatif baharu PKR bagi membantu wanita yang menghadapi masalah, bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2021.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pula mengatakan rundingan kerusi antara parti komponen PH telah mencapai ‘peringkat seterusnya’.

Pada tahap ini, tambah Fahmi, mereka memberi tumpuan kepada parti dalam PH sebelum mengadakan perbincangan dengan parti-parti pembangkang (PH) lain.

Lawan menjadi kawan pula kerana sebagaimana Anwar, Fahmi juga tidak menolak kemungkinan PKR bekerjasama dengan Umno pada PRU15 nanti.

Langkah ini susulan keputusan Umno yang enggan meneruskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU tersebut.

Minggu lalu, Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengutus surat kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Umno tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Pada logiknya, berkolaborasi dengan Umno merupakan kenyataan yang sukar diterima oleh semua pemimpin, dan penyokong PH.

Namun demikian, Anwar menegaskan PH mendukung siapa sahaja yang boleh menerima caranya, iaitu menolak rasuah, segala bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa, serta menjaga (hak) orang Melayu, Bumiputera dan semua kaum.
Menurut Fahmi, kerjasama sedemikian tidak mustahil, malah PKR pernah melakukannya sebelum ini – seperti yang nyatakan di atas. Katanya, bukan mustahil, dan Anwar sendiri telah memberikan garis panduan yang sangat jelas.
Tambah Fahmi, PH ada prinsip serta pegangan, seperti yang disebutkan tadi, dan tidak akan melanggarnya.

Memang tidak mustahil kerana PKR telah bekerjasama dengan Mahathir yang (pernah) memusuhi Anwar, dan menyebabkan penubuhan PKR (pada mulanya Parti Keadilan Nasional/PKN).

Tiada yang mustahil kerjasama seumpama itu, apatah lagi pihak yang menerimanya (PKR-PH) mahu ia berlandaskan prinsip dan pegangan.

Terdapat persamaan dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh PH dan BN, dan Fahmi mengakui ia merisaukan ramai orang.

Fahmi mengatakan orang yang paling gusar sekarang ialah mantan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa. Menurutnya, Annuar paling terkesan kerana mungkin bimbang hilang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan.
Walaupun ada pemimpin PH memberikan amaran mengenai perkara ini, tetapi kita perlu melihat dari sudut positif, dan terbuka.

Ketua Pemuda PH yang baharu, Shazni Munir, pada 11 Mac lalu berpendapat langkah ini boleh menyebabkan gabungan itu kehilangan penyokong teras mereka.

Katanya, sebarang kerjasama dengan Umno, sebelum atau selepas PRU15, tidak boleh melibatkan pemimpin ‘kluster mahkamah’ yang menghadapi tuduhan rasuah.

Shazni menyatakan kebimbangannya yang paling besar ialah bagaimana menjawab kepada rakyat kerana setelah sekian lama menentang rasuah, tiba-tiba mahu bekerjasama dengan perasuah.

Antara pemimpin Umno ‘kluster mahkamah’ termasuklah Zahid Hamidi, dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Mantan Perdana Menteri (PM), Dato’ Sri Najib Tun Razak pula pernah melobi Umno dan BN untuk menyokong Anwar.

Pemimpin Umno ini digambarkan oleh lawan mereka sebagai ‘terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja demi menyelamatkan diri daripada sabitan bersalah di mahkamah.

Pun begitu, pengkritik ‘kluster mahkamah’ mendakwa langkah menjalinkan kerjasama antara Umno dengan PKR masih berjalan.

Benar dan wajar kebimbangan Shazni itu. Akan tetapi, Anwar tentulah telah maklum perkara ini. Sudah pasti (amat diharapkan) beliau tidak akan bekerjasama dengan pemimpin Umno ‘kluster mahkamah’ yang disebutkan.

Lagipun, kerjasama tersebut sebagai antara strategi demi kemenangan PH, dan selagi Anwar sebagai ketuanya yang bakal diangkat sebagai PM kesembilan.

Sementara itu, meskipun kelihatan konsisten, tetapi saya fikir DAP tidak terlalu ketat dengan pendiriannya selama ini apabila mengatakan tiada kerjasama politik dengan Umno pada PRU15.

Lim Guan Eng pada 8 Mac lalu mengatakan pendirian DAP kekal, tetapi menjelaskan partinya hanya bersedia bekerjasama dengan Umno apabila ia akan memberi manfaat kepada rakyat.

Tambah Setiausaha Agung DAP itu, tiada kerjasama atas dasar kepentingan parti dengan Umno. Katanya, tindakan mengambil pendekatan untuk tujuan tertentu tidak bermakna bekerjasama dengan Umno, tetapi sanggup bekerjasama demi kepentingan rakyat seperti menggesa mengadakan sidang Parlimen.

Jelas Lim, beliau menjelaskan semasa persidangan Parlimen yang lalu, DAP juga tidak menentang usul PAS mengenai langkah mencegah COVID-19.

Sekali dengar, kenyataan Lim-DAP ini seperti menolak Anwar-PKR-PH. Tentulah lebih sukar bagi PH memenangi PRU15 jika tanpa dukungan DAP.

Walau bagaimanapun, ia sebenarnya turut mengingatkan parti-parti rakan parti lain dalam PH.
Tiada kerjasama dengan Umno kalau hanya akan menyusahkan rakyat. Sebaliknya, bekerjasama dengan parti itu jika kepentingan rakyat didahulukan.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menegaskan DAP tidak akan menyokong amalan melompat parti, sesuai dengan prinsip urus tadbir baik dan bersih walaupun tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ertinya, boleh bekerjasama dengan pemimpin Umno yang baik, dan turut mendukung prinsip PH. Masalahnya, adakah pemimpin Umno yang sedemikian?

Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan antara pemimpin Umno hari ini yang dianggap baik, dan matang. Namun demikian, tentunya tidak memadai hanya beliau seorang, serta mahukah bersama-sama PH yang ada PKR dan DAP?

Memang Umno ‘berpatah arang berkerat rotan’ dengan Bersatu. Mohamad juga menegaskan keputusan partinya untuk PRU15 itu tidak dipengaruhi mana-mana individu.

Kata Timbalan Presiden Umno itu, oleh kerana lebih 100 bahagian menggesa Umno agar tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu, ternyata ia bukan keputusan perseorangan.

Mohamad berkata sedemikian ketika mengulas dakwaan Annuar bahawa Umno kini seperti sudah berada di bawah pengaruh Anwar.

Dengan kenyataan Mohamad itu, apakah yang boleh dijangka (diharapkan) dari Umno?

Sementara itu, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat tidak mustahil Umno akan bekerjasama dengan PH pada PRU15.
Mengenai peluang Umno, Tengku Razaleigh turut mengatakan tidak mustahil partinya akan beroleh kemenangan.

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu berpendapat kalah menang bergantung pada manifesto yang merangkumi perkhidmatan dan rancangan yang mahu diberikan bersama-sama harapan rakyat dalam lima tahun akan datang.

Strategi dan cadangan, tambah Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li, juga perlu menepati kehendak muda, tua, lelaki dan wanita.

Mengenai keabsahan Kerajaan PN, veteran Umno itu menjelaskan beliau bukan menentang Perdana Menteri (PM), tetapi sebagai menjawab pertanyaan ramai adakah sumpah Muhyiddin di hadapan Yang di-Pertuan Agong (YdPA) sah atau tidak. YdPA memang bertanggungjawab dan mengikut Perlembagaan.

Tegas Ahli Parlimen Gua Musang itu, Muhyiddin memerlukan sokongan 112 ahli Parlimen. Bukan soal surat perakuan bersumpah, kerana yang penting ialah memastikan apakah beliau masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, atau tidak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Memang sesiapa yang memegang jawatan PM sekarang, sebagaimana kata Ku Li, perlu berani menghadapi Dewan Rakyat, dan pilihan rakyat. Jika sah masih disokong, teruskan dan berundurlah jika sebaliknya.

RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.