Malaysia Dateline

Petikan berita dari akhbar Mingguan Malaysia hari ini

‘Ada perkara disebut Perkasa sudah jadi agenda Amanah’

Sebahagian usul Kongres Melayu Kelantan sebenarnya telah terlebih dahulu menjadi keutamaan kepada Amanah negeri itu.

Hazmi Hassan 2

Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan berkata, antara usul kongres tersebut seperti mendesak pembatalan perjanjian dengan syarikat Climate Protectors Sdn Bhd berada dalam perhatian parti itu.

“Ada antara yang disebut Perkasa itu memang sudah menjadi agenda utama Amanah. Kami juga sedang berusaha sedaya upaya untuk membaiki kerosakan yang telah berlaku selama ini,” ujarnya.

Kongres Melayu anjuran Perkasa Kelantan itu antara lain mengemukakan usul mendesak kerajaan negeri yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lebih agresif merancang dan melaksanakan program membangunkan ekonomi rakyat secara menyeluruh.

Usul lain yang dibentangkan dalam majlis anjuran Perkasa Kelantan di Kota Bharu itu semalam turut menyokong perjuangan masyarakat Orang Asli menentang pembalakan di hulu negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Hazmi memberitahu Amanah Kelantan serius mahu memastikan kerajaan negeri mengamalkan urus tadbir baik seperti dalam contoh isu Climate Protectors.

“Kami bukan sahaja mendesak bahkan sudah pun buat laporan polis dan menghantar memorandum kepada Menteri Besar.

“Desakan Amanah Kelantan jelas supaya kepimpinan kerajaan negeri membatalkan perjanjian dengan syarikat tersebut,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Semalam, Presiden Perkasa, Datuk Dr Ibrahim Ali mengerahkan ahlinya memberikan sokongan kepada calon PRU-14 yang dilihat berkualiti tanpa mengira sama ada dari Pas, BN atau Pakatan Harapan.

Beliau dalam kongres bertemakan ‘Bangkit Bertindak Demi Kesejahteraan Rakyat Bukan Kemewahan Pemimpin’ itu berkata, tidak mahu melihat Kelantan masih di tahap sama meskipun negara telah mencapai kemerdekaan hampir 60 tahun.