Ada pihak cuba mengelirukan kenyataan Mufti Perak, dakwa Zambry

Ada pihak cuba mengelirukan kenyataan Mufti Perak, dakwa Zambry

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini meminta supaya tiada pihak yang membuat kenyataan mengelirukan tentang Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang baharu, Datin Mastura Mohd Yazid.

Ia susulan kenyataan yang dibuat oleh Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang menyatakan bahawa Mastura tidak mempunyai kekangan untuk melaksanakan tanggunjawabnya sebagai wakil rakyat.

“Saya harap jangan ada mana-mana pihak yang mengelirukan seolah-oleh Mastura tidak boleh keluar langsung bagi menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat kerana beliau mempunyai tugasnya sebagai wakil rakyat yang perlu turun ke bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco hari ini seperti dilapor Peraktoday.

Tegasnya, beliau turut mendapat penjelasan yang lebih terperinci daripada Mufti tentang Mastura dan Mufti telah mengesahkan bahawa itu adalah penjelasan yang terbaik.

“Maknanya dia (Mastura) dibenarkan selagi beliau masih tahu bahawa dalam tempoh empat bulan 10 hari, dia tahu, beliau berada dalam tempoh edah tetapi kerana menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, beliau perlu turun berjumpa dan menyelesaikam masalah rakyat.

“Umpamanya, sekiranya sesebuah kampung menghadapi masalah, beliau perlu turun ke kampung itu untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kalau saja-saja beliau nak turun, itu yang tak boleh,” tegasnya lagi.

Beliau juga berharap dengan penjelasan mufti tersebut, Mastura dapat memulakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

COMMENTS

Wordpress (0)