Ada pihak ketiga dalam hubungan, ‘Saya ada bukti bergambar’ – Farid Kamil

Oleh KIM SYAZIE

Pelakon, Farid Kamil menguatkan dakwaan bahawa ada orang ketiga dalam perhubungannya bersama isteri, Diana Danielle.

Menurut Farid, orang ketiga itu adalah watak yang mempengaruhi Diana dalam pemfailan cerai yang dibuat pada awal bulan lalu.

Tidak main-main, Farid juga menegaskan bahawa beliau mempunyai bukti bergambar bagi mengesahkan dakwaan tersebut.

Walau bagaimanapun, pelakon utama Lagenda Budak Setan itu enggan mendedahkan bukti tersebut untuk tontonan umum.

Katanya, gambar tersebut hanya akan diserahkan kepada pihak mahkamah bagi menutup aib isteri dan anak-anaknya.

“Untuk pengetahuan semua, saya ada bukti gambar. Saya tak boleh tunjuk sekarang. Saya kena tunjuk di mahkamah.

“Hal peribadi saya, isteri dan anak-anak. Saya tak mahu kongsi (gambar) yang hanya akan menaikkan persepsi yang boleh mengaibkan mereka,” katanya.

Terdahulu, pelakon yang berusia 42 tahun itu membuat dakwaan tersebut sejurus keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Farid dan Diana hadir ke mahkamah secara berasingan bagi menjalani proses perlantikan wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP).

JKP dilantik bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan itu setelah Farid Kamil enggan melafazkan cerai pada 20 Mac lalu.

Baca juga: Farid Kamil bawa bunga di mahkamah pujuk Diana Danielle