Ada potensi menang, PH perlukan 10 peratus undi Melayu, Orang Asli

Ada potensi menang, PH perlukan 10 peratus undi Melayu, Orang Asli

Pengerusi Biro Politik AMANAH Perak, Dr Ahmad Termizi Ramli berpendapat Pakatan Harapan (PH) hanya memerlukan sekurang-kurangnya 10 peratus undi Melayu dan Orang Asli pada PRK Parlimen Cameron Highlands hari ini.

Menurut bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, pola pengundian Cina dan India dijangka berkemungkinan besar masih menyokong PH.

“Cameron Highlands ini satu kawasan Parlimen yang PH tidak sepatutnya kalah. 39.5 peratus orang Cina. Apa alasan orang Cina untuk mengundi selain PH? Kita ada 15 peratus India. Sekali lagi tiada alasan untuk mengundi selain PH.

“Jadi, kita hanya memerlukan 10 peratus undi Melayu dan Orang Asli untuk menang PRK Cameron ini. Potensi untuk PH menang itu ada,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline selepas ceramah kempen dihadiri Tun Dr Mahathir semalam.

Ditanya tentang kehadiran Perdana Menteri itu di Sungai Koyan sehari sebelum hari membuang undi, beliau berkata, PH sepatutnya menang dengan bergaya.

“Ramai orang tempatan turun mendengar ceramah Tun. Potensi untuk PH menang itu sangat baik. PH akan menang bergaya.

“Kemenangan PH ini penting. Kita mahu menang bergaya sebab mahu matikan hujah Umno-Pas seolah-olah mereka mendapat sokongan rakyat lagi.

“Hakikatnya kalau mereka kalah di Parlimen Cameron Highlands terbukti selepas lima pilihan raya kecil, orang Melayu tolak dia (Umno-as). Cina, India sudah tahu tolak dia. Kelebihan di Cameron, Orang Asli pun tolak dia. Jadi, siapa sokong dia?

“Orang bandar tolak, orang kampung, orang laut, orang gunung pun tolak. Jadi mati hujah ini penting sebab kita mahu stabilkan kerajaan,” ujar Dr Ahmad Termizi lagi.

Hari ini seramai 32,008 pemilih berdaftar di Parlimen Cameron Highlands layak membuang undi dalam PRK yang menyaksikan pertandingan empat penjuru itu.

Daripada jumlah itu, 33.1 peratus iaitu 10,594 pengundi merupakan kaum Melayu manakala pengundi Cina (28.2 peratus), Orang Asli (24.6 peratus) dan India (14 peratus).

P. 078 yang dianggap sebagai kubu BN sebelum ini merupakan antara kawasan paling ramai pengundi Orang Asli selain Parlimen Rompin, Gua Musang, Sungai Siput dan Gerik.

Calon PH, M. Manogaran berentap dengan Ramli Md Nor dari Barisan Nasional dan dua calon Bebas iaitu Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib.