Malaysia Dateline

Dr M kekal PM: Ada rundingan antara Bersatu dan Pas?

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri hari ini memberitahu Pas telah menepati janji untuk memberi sokongan kepada pentadbiran kerajaan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Abu Bakar Yahya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, Pas membawa mandat dalam Dewan Rakyat dengan menyokong Dr Mahathir terus menjadi Perdana Menteri sehingga PRU-15.

“Terima kasih kepada Setiausaha Agung Pas yang mengotakan janjinya membawa mandat ke dalam Dewan Rakyat 18 undi daripada Pas akan sokong YAB Langkawi (Dr Mahathir) untuk terus menjadi Perdana Menteri sehingga habis penggal,” ujarnya.

Abu Bakar berkata demikian dalam hantaran di akaun Facebook kira-kira jam 4 petang tadi.

Dalam masa sama, beliau berkongsikan gambarnya bersama-sama Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan di media sosial itu.

Kenyataan Abu Bakar itu dilihat kemudiannya mengundang persoalan dalam kalangan rata-rata penyokong Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod, kedudukan terkini kerusi Parlimen menyaksikan PH memiliki 129 kerusi Parlimen dengan terdiri daripada PKR (50), DAP (42), Bersatu (26) dan AMANAH 11 kerusi.

Sementara itu, BN mempunyai 40 kerusi manakala Pas memiliki 18 kerusi Parlimen.

Selain 18 undi daripada Pas yang menyokong Dr Mahathir untuk kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal, enam ahli parlimen BN hari ini turut menyatakan sokongan sama.

Wakil-wakil rakyat BN itu ialah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Adham Baba (Tenggara), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut) dan Ismail Abd Muttalib (Maran).

Dalam sidang media di Parlimen hari ini, mereka mengaitkan kewajaran Dr Mahathir di jawatan nombor satu itu dengan kepentingan terhadap ekonomi negara.