
Ahli Dewan Negeri (Adun) Senggarang, Kahiruddin A Rahim, mendakwa beliau telah mengenal pasti ‘tangan-tangan ghaib’ yang mahukan projek Pembinaan Trapak Pelupuan Sampah di Bukit Payong diteruskan setelah dihentikan oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan.
Bukit Payong telah menjadi suatu medan pengukuran prestasi Kerajaan Negeri Johor yang baharu selepas pelbagai janji yang telah ditaburkan oleh pihak pemimpin di negeri ini tidak dilaksanakan kerajaan terdahulu.
Secara umumnya, isu Pembinaan Tapak Pelupusan Sampah Bukit Payong telah pun dihentikan oleh pihak kerajaan negeri namun baru-baru ini terdapat tangan-tangan ghaib yang cuba memberi cadangan untuk meneruskan projek tersebut di Bukit Payong.

Khairuddin berkata,adalah diharapkan keputusan pihak kerajaan negeri muktamad dengan memindahkan projek tersebut ke tempat lain dan bukan di Bukit Payong dan amat menyanjung tinggi keputusan yang telah dibuat oleh Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian.
“Terdapat seramai lebih 26,000 penduduk di sekitar kawasan Bukit Payong dan ia tidak munasabah sekiranya cadangan mewujudkan projek tapak pelupusan sampah di situ.
“Perkara-perkara seperti tapak pertanian, ternakan kolam ikan dan sumber asli Bukit Payong akan musnah dengan adanya projek tersebut.
“Saya bersama dengan penduduk untuk membantah sebarang pembinaan tapak pelupusan sampah di sini (Bukit Payong),” ujar beliau ketika dihubungi.
Sementara itu, Khairuddin juga telah menyatakan bahawa beliau telah mendapat sokongan 8 daripada 10 Exco Kerajaan Negeri yang menurunkan tanda tangan membantah projek tersebut.
Selain itu, Khairuddin juga menyatakan terdapat lebih separuh tanda tangan Adun Pakatan Harapan (PH) dan Adun di Johor yang menurunkan tanda tangan untuk membantah projek tersebut.
“Kita sudah mendapat sebilangan besar tanda tangan yang diturunkan oleh pihak Exco dan Adun bagi membantah pembinaan tapak pelupusan sampah di sini.
“Selain itu, penduduk kampung juga turut membantah keras dengan kewujudan tapak pelupusan sampah berkenaan.
“Saya berharap tindakan tangan ghaib berkenaan dapat dipatahkan dan saya akan terus menentang sebarang usaha untuk menjadikan Bukit Payong sebagai tapak pelupusan sampah,” ujarnya.
Dalam kumpulan ‘whatsapp’ NGO Selamatkan Bukit Payong, perkara tersebut telah diketahui oleh ahli kumpulan berkenaan dan kebanyakkan dari mereka melahirkan rasa kesal dengan tindakan tangan ghaib yang dimaksudkan.
Selain itu, NGO Selamatkan Bukit Payong juga telah menyuarakan pandangan bahawa tangan ghaib berkenaan tidak bertanggungjawab dalam masalah rakyat dan mereka telah mendakwa pemimpin yang mencadangkan penerusan pembinaan tersebut sebagai ‘mementingkan diri sendiri’.