Malaysia Dateline

Ada usaha cuba gagalkan penubuhan kerajaan baru setahun lalu, kata PM

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ada pihak yang cuba cuba untuk menggagalkan penubuhan kerajaan Pakatan Harapan selepas pilihanraya umum ke 14 setahun lalu.

Namun, usaha itu gagal, kata Perdana Menteri dalam Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Tun Mahathir juga berkata, beliau bersyukur kerana kerajaan Malaysia Baharu ini berjaya dibentuk tanpa pertumpahan darah walaupun ada usaha untuk menyekatnya.

Majlis ini diadakan sempena sambutan satu tahun penubuhan kerajaan Pakatan Harapan yang disiarkan secara langsung oleh media.

Menteri Kabinet yang turut serta dalam majlis Perutusan Perdana sempena setahun pembentukan Malaysia Baharu di PICC hari ini.

Dalam ucapan itu, Tun Mahathir juga berkata beliau sedar ada dakwaan kerajaan PH gagal menunaikan janji.

Tun menjelaskan, apabila PH mengambil alih kerajaan, kerosakan berlaku terlalu parah yang perlu diperbetulkan dahulu.

“Walau lewat, kita sedang usaha untuk menunaikan janji-janji itu dan pencapaian yang ada sangat memberangsangkan,” katanya.

Tun menyenaraikan satu persatu apa yang telah dilakukan oleh PH dalam ucapannya hari ini.