Malaysia Dateline

Ada usaha jatuhkan reputasi Adun dari Utara

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Aiman Athirah Al-Jundi meyakini adanya usaha beberapa pihak untuk menjatuhkan ahli politik dengan cara yang tidak terduga.

Ia susulan dakwaan gangguan seksual yang dilaporkan seorang ahli politik wanita terhadap seorang Adun dari Utara.

Menurut Athirah, sepanjang mengenali Adun tersebut, beliau seorang yang sangat menghormati wanita dan pernah memperjuangkan isu keganasan terhadap wanita.

“Memandangkan tuduhan ini telah pun menjadi kes polis, saya dan AWAN Nasional berpandangan biarlah polis menjalankan tugas penyiasatan.

“Iklim politik pada waktu ini terlalu panas, dan masing-masing pihak cuba menundukkan lawan mahupun kawan termasuk dengan segala cara yang kita tidak terduga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa semua hal akan diambil kesempatan, maka adalah perlu untuk semua pihak khususnya para penggerak dan kepimpinan parti beringat untuk mengelakkan apa jua ruang yang boleh menimbulkan fitnah-fitnah seperti ini.

Terdahulu, satu laporan polis tersebar yang mendakwa Adun berkenaan melakukan perbuatan tidak sopan terhadap seorang wanita berusia 31 tahun.

Menurut laporan wanita tersebut Adun itu cuba untuk meraba dan memeluknya.

Polis sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, undang-undang yang menetapkan kesalahan berhubung dengan menggunakan kekerasan untuk memalukan kesopanan seseorang.