Malaysia Dateline

Ada yang aneh, paranormal dakwa asyik berjalan di tempat sama, lihat nenek Painah dijaga lembaga besar

Banyak perkara aneh berlaku sepanjang usaha mencari dan menyelamat nenek Painah Siwan, 79 yang dilaporkan hilang di hutan baru-baru ini. Ketika dalam proses pencarian, ahli paranormal mendakwa mereka melihat wanita warga emas itu seolah dikawal satu lembaga besar.

Lapor Berita Harian, ahli paranormal itu mengalami gangguan ketika dia dan sahabatnya bermalam di kawasan yang dikatakan sebagai tempat terakhir wanita warga emas berkenaan berada.

Mereka merasakan ada sesuatu yang aneh kerana selepas hampir dua jam berjalan namun masih berada di tempat yang sama.

“Lebih mengejutkan apabila bangun pagi kami berada di atas tanah lapang sedangkan pada malamnya kawasan tempat berehat penuh dengan pokok renek dan rimbun,” katanya memetik BH.

Foto ihsan orang ramai

Mula-mula nampak macam batu besar, lepas laung azan rupanya itu nenek Painah

“Masa jumpa nenek Painah di lopak air di kebun sawit berkenaan, seperti ada satu lembaga sedang menjaga dia sebelum hilang selepas dilaungkan azan”, dakwa ahli paranormal, Mohd Fitri Abdul Razak, 32.

Mohd Fitri berjaya menemui wanita warga emas itu kira-kira pada jarak 300 meter dikawasan berkenaan dan kelihatan mangsa seperti sebuah batu besar yang berada di tengah-tengah lopak.

Katanya, hati dia seperti diberikan firasat untuk datang lebih dekat bagi memastikan apa yang dilihatnya itu benar-benar batu atau wanita yang dicarinya itu.

“Selepas lembaga berkenaan hilang, nenek Painah terus rebah sebelum saya dan sahabat bernama Jas berasal daripada Sabah mendapatkannya dan memberikan makan kerana kelihatannya terlalu lemah.

“Disebabkan tempat nenek itu ditemui berada di kawasan yang berpaya, saya terus mendukungnya ke kawasan lapang dan menyelimut menggunakan kain yang kami bawa,” katanya.

Ibu nak makan nasi

Sementara itu dalam perkembangan sama, anak kepada nenek Painah iaitu Sadiah Mohari, 42, berkata, ibunya hanya meminta nasi kerana lapar selepas dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk menerima rawatan lanjut .

“Bagi ibu nasi, ibu lapar.” Itulah luahan pertama nenek Painah kepada anaknya, selepas dilaporkan hilang selama enam hari.

Menurut Sadiah, ibunya yang kini masih menjalani rawatan di HSNI bagaimanapun masih dalam keadaan lemah dan belum boleh banyak bercakap.

Baca juga: “Gitu je maruah negara kena pijak”, lihat bagaimana filem India pamer babak rasuah siap sebut nama Malaysia

Baca juga: Najib gagal yakinkan mahkamah untuk timbulkan keraguan terhadap hakim Nazlan, peguam yakin mahkamah berlaku adil