Ada yang lebih penting daripada kemenangan PRK

Ada yang lebih penting daripada kemenangan PRK

Sebagai penyokong Pakatan Harapan tentu saya mengharapkan calon DAP menang bergaya dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands pada 26 Januari nanti. Daoam PRU2018, bukan sahaja kerusi Parlimen ini dipertahankan calon BN, malah negeri Pahang gagal dikuasai Pakatan.

Namun, mendukung semangat dan komitmen Malaysia Baharu, impian saya lebih luas lagi, apakah berlaku pembaharuan atau perubahan struktural ke atas sistem dan proses pilihan raya yang selama ini terkenal kerana kepincangan dan ketempangannya?

Mampukah ia mengukir sejarah sebagai pilihan raya kecil terbersih dalam sejarah? Sekurang-kurangnya proses kempen selama dua minggu itu tidak dicemari gejala tidak demokratik dan salah guna kuasa.

PRK ini menarik tumpuan berbanding Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson kerana penyandangnya yang dibatalkan mahkamah itu adalah wakil MIC di kawasan tradisi milik BN. Sedangkan empat konstituensi sebelum ini merupakan kerusi Pakatan Harapan yang diwarisi daripada Pakatan Rakyat sejak 2008.

Lebih mendebarkan, majoriti kemenangan di Cameron Highlands dalam PRU14 lalu begitu kecil, iaitu 597 undi, daripada jumlah keseluruhan sekitar 32,000 pengundi. Dan persaingan sengit itu pula berlangsung di negeri yang dikuasai BN. Segera terbayang, perebutan pengaruh berlaku di antara BN yang menerajui kerajaan negeri dan Pakatan Harapan yang menguasai kerajaan persekutuan. Masing-masing ada kelebihan tersendiri, dengan komposisi kaum agak seimbang, juga status sosial yang agak rencam.

Faktor demografi dan pengundi campuran juga menjadikan pilihan raya kecil ini lebih menarik lagi. Ia mungkin boleh menggambarkan trend mengundi di kawasan luar bandar, terutama membabitkan masyarakat Melayu dan Orang Asal selepas kerajaan pusat bertukar pada 9 Mei 2018. Sikap politik pengundi Melayu-Muslim menjadi perhatian istimewa apabila tinjauan menunjukkan tidak sampai 30 peratus golongan majoriti ini mengundi Pakatan pada PRU14.

Pengundi Melayu membentuk 33.44 peratus, Orang Asal 23.67 peratus, Cina 28.42 peratus dan India 14.42 peratus. MIC tidak menghantar calonnya dan menbuka laluan untuk BN memilih seorang bekas pegawai polis daripada masyarakat Orang Asal. Ini menunjukkan faktor komuniti tersebut dianggap penting untuk mengekalkan sokongan mereka kepada BN.

Gabungan pengundi Melayu dan Orang Asal sahaja membentuk lebih 57 peratus pengundi. Dalam keadaan kemungkinab masyarakat Tionghua dan India yang berada di luar kawasan, ada yang tidak balik mengundi, maka semakin kuat tekanan kepada Pakatan untuk mencipta sejarah di sini.

Perubahan ketara selepas PRU14 adalah sikap politik Pas yang berbaik-baik dengan Umno-BN. Ia mudah difahami memandangkan jalinan kerjasama itu atas kepentingan barisan pembangkang. Malah gosip Pas bermain mata dengan Umno sudah lama dibisikkan dan menjadi rahsia umum. Sekali imbas, ia dilihat satu kelebihan buat calon BN mempertahankan kerusi.

Selain itu, pengaruh Pas juga agak menyerlah di Pahang. Dalam PRU14, negeri ini boleh digolongkan dalam kategori kubu Pas di belakang Kelantan, Terengganu dan Kedah. Bertanding secara bersendirian, Pas masih mampu menang lapan kerusi Dun, satu pencapaian terbaiknya sepanjang sejarah di Pahang. Ia juga negeri Timbalan Presidennya, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Meskipun Pas turun memberikan sokongan kepada BN pada hari penamaan calon, dan turun membantu kempen, juga kerahan Presidennya, Ustaz Abdul Hadi Awang agar penyokongnya mengundi BN, apakah semua 3,587 pengundi yang memangkahnya Mei lalu akan mengundi dacing? Ketika calon BN dijangka daripada MIC, ada ramalan kemungkinan sebahagian ahli-ahli Pas tidak keluar mengundi, bagaimana pula apabila ia menghantar calon Orang Asal yang beragama Islam?

Secara peribadi saya agak genbira dengan sikap keterbukaan Pas untuk bersama parti-parti pembangkang lain, termasuk menyokong calon MCA dalam PRK Balakong. Semasa ura-ura awal MIC menjadi calon BN di Cameron Highlands, Pas juga tiada masalah bersamanya. Ia diharap mampu menyuburkan sistem dua parti, yang bermanfaat untuk kepentingan rakyat, bertindak sebagai semak-imbang kepada penguasa dan boleh meredakan sentimen perkauman yang nampak makin membara mutakhir ini.

Balik kepada fokus tulisan ini, apakah siri pilihan raya kecil pasca PRU14 sudah menunjukkan perubahan lebih demokratik yang membanggakan? Benarkah ia dikendalikan secara adil, bebas dan bersih? Mampukah SPR memikul tanggungjawab dengan penuh integriti, telus dan tidak memandang bulu, khususnya kepada parti kerajaan?

Kemenangan calon BN Cameron Highlands telah dibatalkan oleh mahkamah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya. Ada unsur-unsur rasuah yang ketara semasa kempen PRU14 terutama di kalangan Orang Asal. Sesungguhnya ia suatu keputusan bersejarah yang amat penting. Tiada kompromi dalam kes pembelian undi. Rasuah dalam pilihan raya adalah ibu kepada segala korupsi. Memandang enteng gejala rasuah semasa mengundi membuka pintu kepada kerosakan salah guna kuasa yang lebih dahsyat.

Selama ini, kuasa yang diseleweng, manipulasi media, sogokan duit, eksploitasi sumber-kemudahan kerajaan berlaku sewenang-wenangnya, bukan sahaja semasa hari mengundi dan tempoh berkempen, tetapi sepanjang masa. Tujuannya untuk mengekalkan kuasa penyandang, dan memburuk-burukkan saingannya, iaitu pembangkang. Sesuatu yang lumrah di bawab regim lana apabila agensi kerajaan, siap dengan bas berombongan, berkampung di lokasi pilihan raya. Sehingga diwujudkan pejabat mini kementerian tertentu di kawasan mengubdi. Jalan diturap baru, projek-projek dilancarkan, majlis pecah tanah dirasmikan

Manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah dianggap bagai salah satu parti komponen BN. Tiada lagi padang sama rata untuk proses paling penting dalam demokrasi itu. Suara, keputusan dan kepentingan BN dilafazkan melalui lidah SPR. Apa sahaja proses pilihan raya, daripada pendaftaran pemilih, peraturan kempen sehingga persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan penuh muslihat.

Sempadan kawasan diracik-racik ala gerrymandering. Tempoh kempen disingkatkan dan memberi impak besar buat pembangkang, terutama sebelum era langit terbuka. Media kerajaan terutama radio dan televisyen menjadi seperti markas kempen BN. Akhbar dan stesen tv swasta pula dikawal mutlak elit penguasa. Organ oposisi, seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket dihadkan rangkaian pengedarannya terpaksa mematuhi pelbagai pantang-larang.Kerajaan menabur janji projek pembangunan semahunya. Para menteri bergentayangan di kawasan pilihan raya dengan kemudahan wang pembayar cukai.

Justeru, ada tanggapan bahawa kerajaan sengaja membiarkan wilayah dan golongan miskin terus daif bagi meneruskan pergantungan mereka kepada kerajaan. Sekampit beras, sehelai kain, satu plastik barangan dapur, diselit not RM50, mungkin memadai untuk membeli undi individu, selain tawaran dan janji projek untuk komuniti terpinggir itu.

Penempatan Orang Asal tentu menjadi antara lubuk transaksi politik wang dan budaya ugut-gertak yang tidak bermoral itu. Isu kemudahan asas dan pewartaan tanah adat terus menjadi taruhan untuk mengekalkan sokongan.

Di bawah era kerajaan baharu yang lebih telus dan terbuka, setiap langkah penguasa dicermati perhatian awam. Rakyat lebih faham dan prihatin dengan urus tadbir yang baik dan berintegriti. Urusan kerajaan dapat dibedakan dengan hal ehwal parti pemerintah. Ini senario yang bagus, bagi memastikan unsur salahguna kuasa dan penyelewengan diminimumkan.

Kes Menteri Pertahanan menggunakan helikopter tentera untuk lawatan kerja meninjau kem risik di Cameron Highlands, beberapa hari sebelum penamaan calon, merupakan salah satu contoh. Biarpun ia tiada kaitan dengan kempen PRK, dan tiada seorang pengundi tentera pun di situ, malah Mohamad Sabu sebenarnya pergi mengiringi calon Pakatan melalui jalan darat, persoalan yang dibangkitkan itu menunjukkan rakyat semakin prihatin dengan kemungkinan salahlaku. Perkembangan positif apabila rakyat berani bangun mempersoalkan isu-isu berkaitan good governace dan seumpamanya.

Dalam perkembangan sama agak menyedihkan apabila dilaporkan stesen radio Pahang FM menyiarkan ucapan Mufti yang nampak berkempen dan ketara cenderung kepada BN. Portal berita Malaysia Dateline memetik kandungan ucapan yang disiarkan menjelang waktu Maghrib itu, yang condong menolak calon Pakatan Harapan.

Stesen radio berkenaan sebenarnya di bawah kerajaan persekutuan, iaitu RTM. Selama ini, pada era BN, semasa kerajaan negeri di bawah pembangkang, misalnys Kelantan dan Selangor, kerajaan negeri dinafikan hak ke atas radio berkenaan.

Sewajarnya institusi agama tidak wajar terlibat dengan politik kepartaian, apatah lagi terbabit dengan kempen pilihan raya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh turut mendedahkan kerajaan negeri memperalatkan agensi tertentu bagi mempengaruhi pengundi untuk hadir dalam program yang menjadi wadah kempen BN. Sama ada melibatkan kerajaan negeri, mahupun kerajaan persekutuan, penyalahgunaan kuasa dan dana awam dalam kempen hendaklah ditentang.

Untuk perhatian, Menteri Besar Pahang adalah wakil rakyat Jelai, salah satu daripada dua kerusi Adun dalam Cameron Highlands. Jelai merupakan kubu Umno yang menyumbang kemenangan tipis kepada BN untuk kerusi Parlimen di situ bagi mengimbangi kerusi Dun Tanah Rata yang dimenangi DAP. Jumlah peneroka Felda dan masyarakat Orang Asal di Jelai juga signifikan sebagai pertaruhan utama BN. Dalam PRU14, jumlah undi calon BN dan Pas lebih lapan ribu undi, manakala calon Pakatan, hanya sekitar 1,300 sahaja.

Kita harap dapat menyaksikan, selain peraturan berkempen dipatuhi dan segala kesalahan dijauhi, lebih penting keghairahan serta ketamakan calon Pakatan dan BN — yang boleh bersandar dengan sumber kuasa masing-masing — untuk menang dapat dibatasi. Kemenangan memang penting untuk setiap parti yang bertanding, namun membentuk model PRK paling bersih juga menjadi impian bersama, sementara menunggu pemantapan SPR itu sendiri dan proses reformasi pilihan raya dilaksanakan sepenuhnya.