Malaysia Dateline

‘Ada yang perjuangkan Melayu tetapi solat entah ke mana’

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berpendapat Melayu menjadi mahal kerana berpegang dengan agama Islam.

Pemimpin Pas itu berkata, kata-kata Laksamana Hang Tuah, “Tak akan Melayu hilang di dunia” ada sambungannya iaitu, “selagi Melayu berpegang kepada agama”.

Menerusi catatannya di Facebook rasmi beliau hari ini, Mohd Amar menegaskan kata-kata Hang Tuah bukan sekadar ‘Tak akan Melayu hilang di dunia’ kerana Melayu sebenarnya ada kaitan rapat dengan Islam.

“Sehingga ada yang memperjuangkan Melayu tetapi solat entah ke mana kerana atas dasar Melayu sahaja.

“Dalam perlembagaan, disebut takrif kepada Melayu ialah seorang yang beragama Islam dan secara lazimnya mengamalkan adat istiadat Melayu dan bercakap dalam bahasa Melayu, bukan disebabkan oleh keturunan,” ujarnya.

Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor berkata, konsep Melayu yang diperjuangkan iaitu nasionalisme Melayu yang berasaskan Islam tergambar dalam baris pantun, “Kalau roboh Kota Melaka, Papan di Jawa saya dirikan”.