Malaysia Dateline

Pengangguran di kalangan siswazah kini menjadi isu penting negara.

Adab asas pemerkasaan pelajar

Kejadian ‘kurang ajar’ oleh seorang pelajar semasa hari konvokesyen di Universiti Malaya baru-baru ini amat memalukan semua pihak. Ia adalah paparan sifat biadap dan pemahaman salah tentang pemerkasaan pelajar (student empowerment) yang diharapkan oleh Malaysia Baharu.

Falsafah Pendidikan Negara adalah suatu usaha berterusan dari sekolah rendah hingga ke universiti ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh, dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis, dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Universiti merupakan sebuah institusi yang berfungsi untuk melahirkan insan cemerlang. Mahasiswa yang memiliki intelektual yang cemerlang perlu memiliki sifat-sifat insani hebat agar dapat memberi manfaat untuk diri sendiri dan juga orang lain. Selain itu, mahasiswa yang cemerlang perlu memiliki ilmu, berketerampilan sebagai orang berilmu, beradab dan berakhlak, serta sentiasa bertanggungjawab atas ilmunya untuk diri dan orang lain.

Insan berilmu tidak boleh dipisahkan dengan adab yang tinggi yang natijahnya ialah akhlak yang mulia. Semakin tinggi ilmu yang ada dalam diri, maka semestinya semakin tinggi budi pekerti yang dizahirkan dalam kehidupannya. Dengan gandingan ilmu dan adab inilah martabat golongan ilmu ditinggikan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “… Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (daripada kalangan kamu) beberapa darjat…” (Surah al-Mujadalah, ayat 11).

Rasulullah SAW turut menjelaskan perihal orang yang beradab dan berakhlak menerusi sabdanya bermaksud: “Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi).

Justeru, mahasiswa yang menimba ilmu dalam bidang masing-masing, perlu mempamerkan adab yang baik dalam diri. Di mana ia memanifestasikan kesopanan, kemesraan dan kehalusan budi pekerti pelajar. Hakikatnya, mahasiswa yang hebat akan sentiasa menzahirkan adab dan akhlak yang terpuji. Mahasiswa di harus perlu sentiasa belajar untuk menanam dan mempamerkan semua adab yang baik dalam diri masing-masing.

Mana mungkin mahasiswa yang mengatakan mereka adalah cemerlang, tapi bersikap sombong dengan orang lain lebih-lebih lagi kepada guru atau semua pihak yang membantu mengasah bakat dan keupayaan mereka. Malah, adalah tidak munasabah mahasiswa yang hebat, mengajak kepada perkara keburukan dan permusuhan. Sifat dan sikap tercela ini perlu dijauhi, dan mahasiswa perlu berlumba-lumba melakukan kebaikan agar tertanam dalam diri sifat-sifat yang terpuji dan dikagumi oleh semua pihak terutamanya masyarakat.

Sedarlah, Adab adalah tonggak Mahasiswa Cemerlang dan Pemerkasaan Pelajar tidak akan bermakna kepada mana-mana pihak dengan kelakuan pelajar yang biadap, sombong, jelek dan tiada harga diri.

“Penulis adalah Timbalan Naib Canselor (HEPA) Universiti Sultan Zainal Abidin