Malaysia Dateline

Adakah Hudud bukan lagi nyawa Pas setelah jadi kerajaan Persekutuan?

Kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa Pas tidak lagi bercakap tentang potong-potong boleh difahami bahawa Pas tidak lagi berjuang untuk melaksanakan hukum hudud yang didalamnya melibatkan hukuman curi yang dikenakan hukuman potong tangan.

Malah kenyataan ini bercanggah dengan kenyataan bekas Timbalan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Dato Harun Din pada Disember 2014 lalu bahawa hudud adalah nyawa Pas.

Menurut Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil, selama ini Pas bermati-matian mahu melaksanakan hudud sehingga sanggup berpecah dengan Dap dan juga PKR dalam Pakatan Rakyat(PR) kerana mahu membawa usul persendirian meminda Akta 355 bagi membuka jalan kepada pelaksanaan hudud di Kelantan.

“Pada ketika itu juga, Pas sering menyatakan bahawa hudud merupakan nyawa mereka. Namun begitu apabila Pas berada dalam kerajaan Persekutuan seperti hari ini, pindaan Akta 355 tersebut masih belum ke Parlimen dan perjuangan hudud sudah tidak lagi kedengaran.

Adakah Hudud bukan lagi nyawa Pas setelah jadi kerajaan Persekutuan?
Faiz Fadzil

“Pas jangan lupa semasa Muktamar tahun 2020 Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan telah menyatakan bahawa sesiapa yang bertanya bilakah Pas akan melaksanakan hudud ia umpama suara syaitan dan adakah nyawa perjuangan Pas sudah tiada kini?.

“Terbukti kini Islam yang diperjuangkan Pas selama ini umpama tin kosong setelah berubah agenda mereka apakala berkawan dengan Umno dan Bersatu sebagai kerajaan,” ujar Faiz dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas beliau lagi, sejak Langkah Sheraton tiada satu pun dasar Islam yang dijadikan agenda negara dan kerajaan Melayu Islam hanyalah merupakan candu politik bagi mengelirukan rakyat terutamanya orang Melayu sedangkan kerajaan hari ini terpalit dengan pelbagai skandal rasuah dan penyelewengan meskipun Islam mencegah keras amalan rasuah tersebut.

Tambah Faiz, sebetulnya dakwaan Muhyiddin adalah serius dan Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang perlu segera menjelaskan kepada rakyat samada benar atau sebaliknya bahawa Pas sudah tidak lagi memperjuangkan hudud serta kemanakah kompas politik Pas kini.