Malaysia Dateline

‘Ikrar tutup mulut’ untuk sembunyi skandal anugerah BrandLaurette?

Menteri Besar Perak diingatkan agar tidak menyembunyikan penyalahgunaan kuasa dan rasuah melalui ‘ikrar tutup mulut’ kakitangannya kerana tindakan ini hanya akan mengesahkan lagi bahawa penyalahgunaan kuasa, ketirisan, rasuah dan ‘Brandlaurette-gate’ memang wujud di Perbadanan Menteri Besar (MB Inc Perak).

Malah sikap cemas ditunjukkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika menangani skandal Anugerah The BrandLaureate menimbulkan lebih banyak tanda tanya, kata pengerusi AMANAH Perak Asmuni Awi.

Anugerah The BrandLaureate diterima Dr Zambry tahun lalu menjadi pertikaian apabila anak syarikat kerajaan negeri, MB Inc didakwa membuat pembayaran kepada penganjur sebagai imbuhan.

Asmuni merujuk laporan media berhubung ikrar rahsia rasmi yang diwajibkan kepada semua kakitangan MB Inc Perak.

Difahamkan MB Inc Perak adalah satu-satunya anak syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) yang mewajibkan ikrar rahsia rasmi itu.

Asmuni Awi

“Apakah ini bermakna terlalu banyak penyelewengan dan penyalahgunaan yang berlaku di dalam MB Inc Perak dan perlu disembunyikan dari pengetahuan umum maka kakitangannya diikat dan dikunci mulut melalui lafaz ikrar ini?

“Bagi saya, jangan gunakan ikrar untuk menyembunyikan sesuatu tindakan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan urustadbir sesuatu GLC kerana ianya melibatkan kepentingan awam malah dana awam daripada ketirisan sama sekali,” ujar Asmuni.

Menurut beliau, salah urus tadbir dan penyelewengan wajib didedahkan dan dilaporkan bagi dibawa ke muka pengadilan dan dibenteras sama sekali.

Beliau juga inginkan penjelasan mengapa MB Inc Perak tidak menjelaskan isu bayaran yang dibuat kepada penganjur anugerah BrandLaureate dan tindakan undang-undang gagal diambil menteri besar jika dakwaan tersebut tidak benar.

Dr Zambry yang juga Pengerusi MB Inc Perak, ujar Asmuni sepatutnya memberikan penjelasan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak baru-baru ini atau memfailkan saman fitnah sekiranya dakwaan itu tidak benar.

“Malangnya beliau (Dr Zambry) memilih untuk berdiam diri sahaja. Malah terdahulu dari itu ketika ditanya oleh wartawan beliau hanya memberikan jawapan yang berbelit-belit dan tidak menjawab soalan,” katanya.

Sehubungan itu, Asmuni menasihati Dr Zambry supaya tidak sekali-kali cuba menyembunyikan penyalahgunaan kuasa dan rasuah melalui ‘ikrar tutup mulut’ terhadap kakitangannya kerana tindakan ini hanya akan mengesahkan lagi bahawa penyalahgunaan kuasa, ketirisan, rasuah dan ‘Brandlaurette-gate’ memang wujud.