Malaysia Dateline

Adakah Isa Samad disabit tuduhan rasuah RM3 juta?

Keputusan sama ada bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad akan disabit atau dilepaskan daripada tuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, akan diketahui sebentar lagi.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijangka memberi penghakimannya pagi ini.

Sebelum ini, beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hanya 20 petugas media dibenarkan membuat liputan kes Mohd Isa dalam mahkamah, melalui pautan video.

Mohd Isa, 72, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun sehingga 2004 itu didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 14 Disember 2018.

Kes kontroversi membabitkan bekas pemimpin veteran Umno itu kemudiannya dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi bermula 8 Oktober tahun lalu.

Mohd Isa, atau dikenali sebagai Isa Samad yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3.09 juta.

Suapan itu diterima daripada Ikhwan Zaidel iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip.

Wang tersebut sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Individu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.