Adakah kaum India ditindas di Malaysia, soal Ayob Khan

Adakah kaum India ditindas di Malaysia, soal Ayob Khan

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mempersoal pihak tertentu yang cuba menghidupkan semula kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Beliau berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak tanpa mengira kaum termasuk ahli politik yang mempromosikan LTTE.

“Apa perlunya kaum tertentu mempromosikan LTTE? Adakah kaum India ditindas di Malaysia? Kumpulan ini (LTTE) memang disenaraikan sebagai pengganas,” tegasnya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, tangkapan dilakukan bagi mengelak aktiviti kumpulan pemberontak itu berkembang.

“Kita tidak mahu (LTTE) berkembang. Kalau biarkan, banyak lagi mereka akan buat, mencabar polis.

“Polis konsisten tidak kira dari mana kumpulan, ahli politik. Hanya masa (tangkapan) akan menentukannya,” tegas Ayob.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar tindakan polis menahan tujuh suspek termasuk dua Adun DAP pagi tadi tidak dijadikan sebagai isu perkauman.

“Mengapa kalau tangkap LTTE dari satu kaum, ada pihak cuba bawa isu perkauman? Jangan disebabkan LTTE melibatkan India, maka dikaitkan dengan perkauman,” tegasnya.

Beliau turut membandingkan reaksi terhadap tindakan polis apabila menahan suspek yang terlibat dengan kumpulan militan Daesh.

“Mengapa tiada ahli politik pertikai? Kenapa kalau tangkap LTTE pertikai. Mereka cuba mengekspolitasi,” tegasnya lagi.