Malaysia Dateline

Adakah kerajaan mempunyai pelan ketahanan nasional untuk kawal Covid-19?

Selain daripada pengumuman enam daerah di Selangor yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 6 Mei hingga 17 Mei, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan PKP di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan beberapa daerah serta mukim di Johor, Perak dan Terengganu.

PKP ini akan bermula 7 Mei sehingga 20 Mei 2021, maklum Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Perkembangan yang berlaku berikutan peningkatan kes membuatkan saya berfikir, sejauh manakah kerajaan Perikatan Nasional berjaya menangani wabak Covid-19 di negara ini?

Apakah kerajaan PN mempunyai pelan ketahanan nasional dalam mengawal penularan C-19 ini?

Sejak tercetus pandemik, tidak dinafikan kerajaan PN telah berjaya mengekang penularan wabak kepada satu jangka masa daripada perintah berkurung (lockdown) kepada PKPB.

Ketika itu kes dapat dibendung, namun kemudian kes aktif semula berikutan penyebaran C-19 setelah kembalinya ahli politik dari Sabah setelah pesta Pilihan Raya Negeri. Kemudian wabak dapat dikawal seketika dan sekarang meningkat di beberapa kawasan panas terutamanya Selangor.

Daripada perkembangan yang berlaku ini saya dapati kerajaan PN hanya mempunyai dua kaedah dalam berhadapan dengan penularan C-19 ini.

Pertama, kalau kes meningkat ke suatu tahap meruncing, PKP akan diperkenalkan seperti yang diumumkan dan kedua harapan pembendungan ialah kepada vaksin.

Apa yang diperhatikan ialah kerajaan PN hanya menguruskan C-19 supaya ia dibendung dan kes dikawal daripada penularan tetapi tidak merancang untuk mengatasinya.

Seolah pengharapan untuk mengatasi wabak ini hanyalah dengan suntikan vaksin. Adalah juga didapati bentuk rancangan kerajaan berbentuk ad-hoc atau sementara.

Selain daripada pelan bantuan ekonomi kepada rakyat, tiada suatu rancangan ketahanan nasional berjangka panjang bagi menangani C-19.

Secara rasminya tiada rancangan jangka panjang bagi mencari penyelesaian yang dikemukakan bagi membendung C-19 kepada tahap kawalan sepenuhnya. Kita sekadar bergantung kepada pembendungan dan solusi luaran dan tiada penyelesaian tempatan.

Kerajaan PN seharusnya merancang pelan ketahanan nasional yang mengumpulkan pakar-pakar umpamanya kepakaran dalam penyakit, imunisasi, virus, vaksin, herba dan perubatan tradisional supaya penyelesaian tempatan dapat diutarakan.

Ketahanan nasional adalah usaha untuk mendaya-gunakan seluruh potensi dan aset negara bagi memulihkan situasi daripada ancaman pandemik C-19 kepada kejayaan dalam kawalan.

Pakar-pakar yang dilantik harus mencari jalan penyelesaian kepada solusi tempatan dengan mengguna kearifan tempatan.

Misalnya sejauh mana ubat-ubatan tempatan dapat dijadikan pedoman dan penyelesaian ke arah pembendungan C-19. Bahkan para saintis tempatan juga harus menghasilkan vaksin tempatan daripada membeli dari luar.

Ini tentunya menjimatkan kos pembelian vaksin bagi negara. Kawalan dan bendungan dengan vaksin hanya penyelesaian berjangka pendek kepada pelan perancangan jangka panjang.

Adakah kita boleh menjamin dengan pembelian vaksin, diri rakyat negara ini sudah berdaya tahan dengan antibodi yang kuat terhadap jangkitan C-19 untuk 10 tahun akan datang?

Adakah daripada masa ke semasa kita perlu membeli vaksin daripada luar negara? Suatu kajian, ujian dan penyelidikan harus dilakukan pasukan khas yang diwujudkan kerajaan bagi menangani C-19.

Malaysia tidak seharusnya bergantung kepada solusi dan vaksin luar negara dalam merangka ketahanan nasional.

Konsep ketahanan nasional adalah membina daya tahan rakyat supaya ekonomi dan perindusrian negara dapat dibangun dan menjana kekebalan rakyat dalam berhadapan dengan C-19.

Strategi pemberdayaan masyarakat dan komunitinya adalah rancangan berdaya tahan kepada wabak C-19.

Penyusunan strategi pemberdayaan masyarakat dianggap perlu melibatkan komuniti bagi mengupayakan rakyat supaya menjadi anggota barisan hadapan dalam berhadapan dengan C-19.

Pembangunan ekonomi memerlukan penglibatan rakyat dalam menggembeling tenaga dan bersatu padu membina rangkaian bersepadu ke arah membina ketahanan nasional dalam menangani C-19.

Strategi ini dilakukan dengan memanfaatkan potensi sumber daya tempatan dan nilai-nilai budaya setempat, memperhatikan impak yang akan timbul terhadap persekitaran, tidak mengharapkan kebergantungan kepada luaran serta dilaksanakan secara berkelanjutan.

Dalam pemberdayaan komuniti kepada masyarakat dalam daerah, kerajaan serta pihak swasta berperanan sebagai pemerkarsa pelaksanaan untuk mewujudkan kesejahteraan masyarakat.

Kerajaan diharapkan dapat memberi rangsangan kepada masyarakat melalui program yang telah dirancangkan dalam jangka panjang.

Dalam kerajaan mencari jalan penyelesaian, PN harus melihat ke dalam, bukan ke luar kerana rakyat adalah modal insan yang berharga.

Sejauh manakah PN merangka strategi jangka panjang ini dalam usaha mensejahtera dan memakmurkan masyarakat.

Rakyat tentulah tidak mahu berada dalam keadaan sekejap mod PKP kemudian PKB atau PKD yang lebih keras.
Ketahanan nasional adalah aspek yang seharusnya dipertimbangkan sebagai aspek daya tahan negara dalam berhadapan dengan C-19.

 

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran Universiti Selangor (Unisel)