Malaysia Dateline

‘Adakah kerana Hishammuddin gelar abang besar maka China berani ceroboh?’

Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussein harus segera melaksanakan tanggungjawab beliau dengan meminta penjelasan penuh daripada ‘Abang Besar’ ekoran tindakan 16 pesawat tentera udara Republik Rakyat China (People’s Liberation Army-Air Force (PLAAF) yang mencurigakan telah dikesan menceroboh ruang udara negara ini.

Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad dalam kenyataan beliau hari ini kepada Malaysia Dateline berkata insiden ini merupakan suatu perkara yang amat serius serta menimbulkan kecurigaan dan keresahan yang teramat sangat terhadap kedaulatan negara dan keselamatan ruang udara negara ini.

“Berdasarkan kepada Strategi Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), tanggungjawab menjaga keselamatan negara bukan sahaja terletak kepada, anggota keselamatan negara, tetapi juga seluruh rakyat dalam negara ini.

“Kemungkinan besar mereka begitu berani menceroboh ruang udara kita ekoran tindakan Hishamuddin yang pernah menyifatkan China sebagai ‘Abang Besar’ di Malaysia ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China di Fujian sebelum ini.

” Hishamuddin juga harus segera menyahut cadangan Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (JKPH) bagi mengadakan sesi taklimat khas dwipartisan serta mengemukakan rancangan tindakan jelas bagi membincangkan insiden ini demi kepentingan keselamatan dan keamanan negara, ” ujar beliau dalam kenyataan tersebut.