Malaysia Dateline

Adakah kita sedang berada dalam gelombang kelima?

Malaysia telah mengatasi kedudukan Jepun, dua minggu sebelum pembukaan temasya Sukan Olimpik Tokyo. Kita kini berada di tempat ke-33 tertinggi dari segi jumlah kes Covid-19 terkumpul.

Dengan kadar jangkitan semasa, menjelang pertengahan bulan ini, kita akan jatuh lagi dalam carta ini sebagai negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak ini dan mengatasi kedudukan Israel di tempat ke-32.

Kita berkemungkinan akan melepasi paras 900,000 kes sebelum 20 haribulan dan mungkin akan memecahkan paras sejuta kes pada hujung bulan ini — sebulan sebelum kita menyambut Hari Kebangsaan ke-58 — memandangkan kerajaan Muhyiddin ini bukan sahaja tidak boleh diharap untuk mengawal penularan wabak ini, malah kini terlalu sibuk untuk memastikan kelangsungan politik mereka.

Malaysia sememangnya memegang gelaran juara sebagai satu-satunya negara di dunia yang telah jatuh lebih 50 anak tangga dalam tempoh lapan bulan yang lepas, daripada kedudukan ke-85 pada November 2020 kepada tempat ke-33. Menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-58 kelak, kita mungkin akan berada dalam kalangan 30 negara dengan jumlah kes terkumpul tertinggi di dunia.

Sebelum darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021 untuk melawan wabak koronavirus ini, terdapat sejumlah 551 kematian — jumlah terkumpul korban nyawa selama 12 bulan. Tetapi hanya untuk sembilan hari pertama bulan Julai, kita menyaksikan 653 kematian, jauh lebih tinggi berbanding dengan jumlah kematian dalam 12 bulan pertama tahun ini. Darurat jenis apakah ini?

Adakah kita sedang berada dalam gelombang kelima penularan Covid-19?

Menteri Kesihatan kata bukan.

Pada bulan April, beliau katakan yang gelombang keempat wabak Covid-19 tidak akan berlaku di Malaysia melainkan kes melibatkan jangkitan tempatan turun ke sifar dahulu sebelum jumlah kes ini naik mendadak.

Amat malang sekali apabila Menteri Kesihatan kita lebih berminat untuk bermain perkara semantik dan bukannya fokus kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat akibat penularan wabak Covid-19 ini.

Iran telah mengisytiharkan supaya semua perniagaan tidak penting di Republik Islamik tersebut untuk ditutup di 275 buah bandar dan melarang perjalanan tidak penting kerana bimbang dengan kemungkinan gelombang kelima penularan Covid-19 di negara tersebut.

Sementara itu di Sepanyol, gelombang kelima bermula pada 22 Jun semasa kadar jangkitan 14-hari berada pada paras terendah, 92 kes per 100,000 penduduk — tetapi tidak ada rujukan di kedua-dua negara ini, baik Iran mahupun Sepanyol, yang mengatakan mereka perlu mencatatkan sifar jangkitan sebelum gelombang penularan baharu boleh diisytiharkan.

Terdapat pakar perubatan yang percaya bahawa jumlah kes Covid-19 yang diisytiharkan setiap hari adalah jauh lebih rendah daripada jumlah kes sebenar dalam negara kerana kekurangan ujian saringan yang dijalankan di Malaysia — kita hanya menjalankan sepertiga daripada jumlah minimum saringan harian, yang sepatutnya dilakukan pada kadar kira-kira 200,000 ke 300,000 ujian saringan sehari. Kadar peratusan kes positif kita juga tinggi.

Kerajaan perlu merangka strategi dan pendekatan baharu untuk menggantikan strategi gagal sedia ada ini. Kerana inilah penting untuk Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dipanggil bersidang semula.

Saya menyeru juga kepada kerajaan untuk secepat mungkin menubuhkan “food bank” di seluruh negara untuk membantu golongan yang memerlukan yang kini terjejas teruk akibat sekatan pergerakan dan wabak Covid-19.
—————
Kenyataan Media Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 10 Julai 2021.