Adakah Mahiaddin akan haramkan Umno?

Oleh ARIF ATAN

Berdasarkan penjelasan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan yang berlandaskan kronologi mesyuarat dan surat-menyurat kepada Pendaftar Pertubuhan atau RoS, tidak diragui bahawa Umno telah mengikuti segala peraturan dengan sebaiknya dalam keputusan menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MT melalui resolusi pekeliling yang dipersetujui oleh 52 daripada 56 ahli MT pada 18 Jun 2021 dan surat mengenainya telah dihantar kepada RoS pada 24 Jun.

Kaedah resolusi pekeling diambil ketika itu kerana mesyuarat MT secara bersemuka tidak dapat diadakan berikutan penguatkuasaan PKPD.

Ini bermakna keputusan menangguhkan pemilihan selama 18 bulan adalah sah kerana ia dilakukan sebelum 30 Jun iaitu tarikh tamat tempoh bagi pemegang jawatan MT sesi 2018 hingga 2021.

RoS kemudian memperakui penerimaan surat bertarikh 24 Jun itu dalam jawapan balasnya bertarikh 19 Julai yang antara lain menyatakan bahawa ia tidak mempunyai halangan terhadap penangguhan pemilihan Umno dan keputusan itu disifatkan telah mematuhi Fasal 10.16 Perlembagaan parti.

Kemudian mesyuarat MT pada 7 Julai 2021 telah mengabsahkan keputusan MT pada 24 itu yang turut dimaklumkan kepada RoS.

Dengan itu, tindakan RoS pada 6 Ogos menghantar surat kepada Umno memaklumkan keputusan penangguhan pemilihan selama 18 bulan sebelum ini sebagai tidak sah kerana ia didakwa dibuat setelah pemegang jawatan MT tamat tempoh iaitu selepas 30 Jun adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Bagaimana RoS yang pada 19 Julai mengatakan tiada halangan terhadap penangguhan itu atas hakikat bahawa ia kuasa MT memutuskannya, tiba-tiba boleh berubah fikiran pada 6 Ogos dengan menyatakannya sebagai tidak sah pula?

Lebih mengejutkan RoS juga mahu Umno memberi tarikh baru agar pemilihan Umno di semua peringkat dapat diadakan.

Sedarkah RoS bahawa PRN Sarawak telah ditunda atas alasan darurat dan beberapa PRK seperti Batu Sapi serta Gerik juga turut ditangguhkan kerana Covid-19 yang didaruratkan.

Jadi, bagaimana mereka boleh tergamak berfikir bukan saja di luar kotak, bahkan tanpa menggunakan kotak untuk memaksa Umno mengadakan pemilihan dalam kadar yang segera?

Daripada sudut politik, tindakan RoS itu dengan mudah difahami ianya adalah bermotif politik dan memperlihatkan badan itu telah menjadi alat kepada kepentingan kerajaan PN untuk mengekalkan kuasanya.

Ini kerana RoS hanya mengambil tindakan tersebut setelah Umno pada 7 Julai lalu membuat ketetapan menarik sokongan terhadap Mahiaddin Md Yasin dan kemudian pada 3 Ogos pula memutuskan menarik sokongan kepada kerajaan PN.

Berikutan keputusan Umno, kerajaan PN bukan saja sudah sah tiada lagi majoriti, bahkan sehingga ini disusuli dengan tindakan dua menteri Umno, Shamsul Anuar Nasarah dan Noraini Ahmad, meletakkan jawatan masing-masing.

Tujuan RoS memaklumkan keputusan Umno menangguhkan pemilihannya selama 18 bulan sebagai tidak sah sebenarnya mempunyai dua tujuan utama:

Pertama, agar pemilihan Umno dapat segera diadakan dan kedudukan Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno dapat dirancang atau dikomplot untuk dijatuhkan bagi digantikan dengan Ismail Sabri Yaakob yang pro Mahiaddin serta kini telah diseronokkan dengan lantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kedua, untuk membatalkan penarikan sokongan Umno terhadap Mahiaddin dan kerajaan PN yang diputuskan oleh MT pada 7 Julai dan 3 Ogos lalu.

Kesimpulannya, oleh kerana gagal menjinakkan Umno, Mahiaddin dan kerajaan PN melalui cengkaman kuasa terhadap RoS yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri, telah mempergunakan agensi itu untuk kepentingan politik dan pengekalan kuasanya.

Adalah dijangkakan RoS akan terus berdalih dengan hujah lain bagi mempertahankan tidak sahnya penangguhan pemilihan selama 18 bulan itu, meskipun kronologi peristiwa yang dibuktikan oleh Umno adalah kukuh, yang matlamatnya hanya satu iaitu memastikan Umno akhirnya tunduk dan akur kepada kekuasaan Mahiaddin yang seluruh dunia tahu beliau adalah Perdana Menteri yang sudah hilang keabsahannya.

Tidak mustahil, langkah seterusnya ialah mengharamkan Umno dan menjadikannya parti yang tidak – bukan kerana ada peraturan atau undang-undang tidak dipatuhi – tetapi semata-mata kerana enggan tunduk kepada kekuasaan Mahiaddin.

Jika kita masih ingat, ketika era Tun Mahathir Mohamad sebelum ini di mana ketika itu Mahiaddin adalah Menteri Dalam Negeri, fail untuk mengharamkan Umno sudah pun ada di atas meja beliau dan Anwar Ibrahim yang mendapat tahu mengenainya telah mengingatkan Presiden Bersatu itu tentang jasa-jasa serta sumbangan Umno dan jangan sampai tergamak untuk mengharamkannya, meski bagaimana besar sekali pun bertelingkah politik dengan parti itu.

Apakah kini Mahiaddin ingin meneruskan semula agenda yang tergendala itu?