Malaysia Dateline

Adakah Mahiaddin seorang diktator negara Dunia Ketiga?

Tokoh wartawan veteran A Kadir Jasin menempelak bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sebagai seorang diktator dan pemerintah kuku besi negara Dunia Ketiga.

“Berita mengenai Mercedes Benz S600 atau Lexus MPV untuk Perdana Menteri ini hanya sesuai bagi diktator dan despot Dunia Ketiga saja.

“Atau untuk ketua negara dan ketua kerajaan negara kaya. Itu pun banyak daripada mereka sangat berjimat-cermat dan sederhana,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa terdapat rekod yang membuktikan bahawa Mahiaddin, yang juga Presiden Bersatu telah menempah kereta Mercedes sewaktu pentadbirannya.

Rancangan itu bagaimanapun, tidak diteruskan kerana Mahiaddin digantikan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Kadir yang juga bekas Penasihat Komunikasi dan Media kepada Tun Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri turut menyoal siapa yang memberikan idea kepada Mahiaddin untuk mendapatkan kereta mewah meskipun harganya mahal.

“Jadi, idea siapa nak beli kereta Mercedes Benz S600 untuk kegunaan Perdana Menteri ini?

“Orang kanan Mahiaddin Md Yasin, Marzuki Mohamad dalam tampalan Facebook, antara lain berkata:

“Sebagai Perdana Menteri pada masa itu, Tan Sri Muhyiddin diberikan dua pilihan kereta rasmi iaitu MPV Lexus dan Mercedes S600.

“Harga kedua-duanya terlalu mahal dan minit terakhir Tan Sri Muhyiddin kepada Jabatan Perdana Menteri ialah supaya harganya dikaji dan dirunding semula. Kelulusan akhir perlu dibuat oleh Kementerian Kewangan.”

“Maksudnya dia setuju dengan cadangan itu cuma mahu harga dikurangkan.

“Soalnya siapa yang bagi Mahiaddin dua pilihan kereta super mewah itu? Ketua Setiausaha Negara atau Jabatan Perdana Menteri sendiri?” soal Kadir lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa kata putus terakhir untuk pembelian kereta mewah tersebut ialah Mahiadeen yang ketika menjawat jawatan perdana menteri.

“Tak kiralah siapa tapi yang jadi “capo di tutti i capi” masa itu adalah Mahiaddin. Kereta Mercedes yang dicadangkan itu, kalau ikut harga biasa yang disebut, dekat RM700,000. Kalau MPV Lexus RM1.14 juta.”

Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak menggunakan kenderaan jenis Mercedes S600 yang telah dibeli oleh Jabatan Perdana Menteri sebelum beliau memasuki pejabat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau telah membuat keputusan untuk menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat untuk kegunaan harian.

Dalam masa sama, Kadir yang pernah menganggotai majlis tertinggi parti Bersatu turut mengambil peluang untuk mengkritik ketiadaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Ahmad Mokhtar yang ke New Zealand ketika negeri pimpinannya dilanda musibah banjir.

Ini kerana tindakan Samsuri tidak selari dengan retorik Islam yang diuar-uarkan oleh para pemimpin Pas.

“Ceritanya mudah saja. Pada bila-bila masa, negara dilanda banjir atau malapetaka lain, pegawai tinggi kerajaan hanya boleh berada di luar kawasan tanggungjawab atas urusan rasmi penting atau rawatan kesihatan kritikal saja. Kalau bercuti sambil berubat, kena beritahu.

“Maaf cakaplah kalau saya kata, tingkah laku, tindak-tanduk dan budi bahasa pemimpin-pemimpin Pas ini kerap mengelirukan dan tidak secocok dengan dakwaan keislaman parti mereka,” bidas Kadir lagi.

Baca juga ‘Tak salah menasihati diri sendiri’ – ‘Pertikaian Nasional’ diperli belum ‘move on’