Malaysia Dateline

Adakah Mahiaddin tidak akan hadir sidang DUN Johor?

Dalam keadaan Mahiaddin Md Yassin yang masih membisu ketika diasak pembangkang agar sidang Parlimen perlu dibuka sebelum 1 Ogos, Kerajaan Johor berani menunjukkan kepimpinan yang sebenar apabila menghadap Sultan Johor untuk membuka sidang DUN 12 Ogos ini.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad menzahirkan tanda tanya adakah Mahiaddin selaku Adun Gambir tidak akan hadir sidang DUN Johor nanti.

Ini kerana katanya, DUN Johor betul-betul terbahagi dua di antara kerajaan dengan pembangkang ataupun kerajaan hanya ada majoriti tipis.

“Speaker DUN masih yang dipilih oleh kerajaan PH,” katanya.

Bahkan katanya sama ada Mahiaddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh terkilan atau tidak dalam masa yang sama Sidang Parlimen pula tidak bermesyuarat.

“Jadi, adakah TS Mahiaddin selaku Ahli Parlimen Pagoh tidak terkilan kiranya Dewan Rakyat tidak pula bermesyuarat?” soalnya.

Shahrir turut memuji kepimpinan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohamamad berani untuk menghadap Sultan Johor bagi mengadakan sidang DUN.

“Datuk Hasni tidak bersilat pulut atau bertai-chi untuk mengelak dari mengadakan sidang DUN. Ini dikatakan kepimpinan!” katanya.