Adakah Malaysia bersubahat serang Yaman, soal Raja Bahrin

Adakah Malaysia bersubahat serang Yaman, soal Raja Bahrin

Penglibatan pegawai tentera Malaysia di ibu pejabat tentera bersekutu pimpinan Arab Saudi di Riyadh seperti dilaporkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menimbulkan persoalan sama ada Malaysia terlibat dalam kempen serangan udara terhadap Yaman.

Raja Bahrin Shah dalam sidang media menuntut penjelasan penglibatan Malaysia dalam serangan tentera terhadap Yaman.

Penglibatan pegawai tentera Malaysia di ibu pejabat tentera bersekutu pimpinan Arab Saudi di Riyadh seperti dilaporkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menimbulkan persoalan sama ada Malaysia terlibat dalam kempen serangan udara terhadap Yaman.

Perkara ini dibangkitkan Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah Raja Bahrin Shah dalam sidang media di Wisma Amanah, Kuala Lumpur, semalam.

“Pada 29 Januari 2017 Laporan Tahunan PBB menyatakan serangan sekutu Arab Saudi ke atas Yaman merupakan jenayah perang, kerana 80% darinya tidak menyasarkan tapak ketenteraan tetapi kawasan orang awam.

“Laporan 63 muka tersebut telah dibentang kepada Konsul Keselamatan PBB pada Jumaat lalu,” ujarnya.         

Menurut Raja Bahrin, gabungan ketenteraan pimpinan Arab Saudi yang dianggotai Kuwait, Qatar, UAE, Mesir, Bahrain, Maghribi, Jordan dan Sudan kebanyakannya adalah sekutu Amerika Syarikat dengan negara kuasa besar dunia itu membekal sokongan logistik dan perisikan.

“Ketua operasi bersama gabungan Saudi tersebut memaklumkan pakar PBB bahawa pegawai dari negara Amerika, Perancis, Britain dan Malaysia bekerja  di ibu pejabat sekutu tersebut  di Riyadh.

“Kehadiran Malaysia dilihat janggal serta menghairankan kerana semua negara yang terlibat adalah dari negara rantau berdekatan Arab, Afrika dan negara kuasa besar Barat. Kenapa Malaysia berada di situ?” soal beliau.              
Raja Bahrin juga membangkitkan soalannya di Dewan Rakyat tahun lalu berhubung penglibatan Malaysia dalam latihan peperangan ketenteraan ‘Northern Thunder’ yang diketuai Arab Saudi dan negara-negara rantau Arab dan Afrika.

Jelas beliau, tiada jawapan yang munasabah diberi kerajaan selain kononnya mencari pengalaman perang di padang pasir yang tidak relevan dengan situasi di Malaysia.

“Negara Turki yang berdekatan dan Indonesia yang mempunyai umat Islam teramai pun tidak mengambil bahagian,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan pendirian Malaysia yang tidak mengutuk kekejaman serangan bertalu-talu gabungan ketenteraan diketuai Arab Saudi terhadap Yaman yang mengorbankan beribu orang awam.

“Jawapan diberi adalah kerana tidak mahu campur tangan walaupun kita mempunyai ramai pelajar disana.  

“Jelas sekarang kerajaan tidak berterus terang di Parlimen situasi dan sebab sebenarnya kita hadir latihan perang di Saudi dan sikap berdiam diri dalam isu Yaman,” kesalnya.                        

Sehubungan itu beliau mahu kerajaan menjelaskan peranan pegawai tentera Malaysia yang berada di ibu pejabat operasi Riyadh bersama kuasa besar Barat iaitu Amerika, Perancis dan Britain yang diketahui umum membekalkan alat ketenteraan, peluru, senjata dan bom bagi menyerang Yaman.

TAGS