Malaysia Dateline

Adakah Malaysia juga menuju ke arah mengaku kewujudan Zionis Israel, soal Mat Sabu

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mempersoal polisi kerajaan pada masa ini yang dilihat berlumba-lumba bertandang ke negara-negara Arab Teluk yang bekerjasama dengan Israel.

Bekas Menteri Pertahanan itu bertanyakan sama ada Malaysia sedang mengiktiraf kewujudan Zionis Israel seperti jalinan hubungan normalisasi yang telah dilakukan negara-negara tersebut.

“Hari ini, kerajaan Malaysia berebut-rebut untuk pergi ke negara-negara yang mengiktiraf Israel ini.

“Persoalannya, adakah Malaysia juga menuju ke arah mengaku kewujudan Zionis Israel sebagaimana normalisasi yang telah dilakukan oleh negara-negara tersebut terhadap Israel?” soalnya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi merupakan negara-negara Arab yang mencapai persetujuan menjalin hubungan normalisasi dengan Israel.

Hubungan mewujudkan hubungan diplomatik penuh itu termasuk penerbangan di antara dua negara, pembukaan pejabat kedutaan dan dalam bidang teknologi.

Minggu lalu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengetuai misi perdagangan serta pelaburan ke UAE yang merupakan negara Arab Teluk pertama memulai tahap normalisasi formal dengan Israel.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, para pejuang kebebasan dan keamanan perlu bangkit bersama berusaha untuk menolak rejim Arab yang bekerjasama dengan Israel, Amerika Syarikat (AS) dan sebahagian negara Eropah yang mempertahankan kezaliman Israel.

“Perkara utama yang perlu kita ketengahkan ketika ini ialah sikap umat Islam khususnya pemimpin-pemimpin negara Arab yang kedudukannya paling hampir dengan Palestin.

“Negara-negara Arab Teluk bekerjasama dengan Israel menyenaraikan kumpulan-kumpulan rakyat yang bangkit mempertahankan negara mereka daripada pengganas Israel seperti Hamas, Jihad dan Hizbullah sebagai pengganas,” jelasnya.

Beliau berpendapat hubungan perdagangan Dubai dengan Israel telah berlaku begitu ketara apabila ahli-ahli perniagaan rejim Israel secara bebas menyertai penerbangan dan pameran perdagangan antara kedua-dua pihak.

“Mereka bermaharajalela di negara-negara Arab, sedangkan rakyat Palestin terus menderita di tanah air sendiri,” tegas bekas Timbalan Presiden Pas itu.

Ahli Parlimen Kota Raja itu juga berkata, sebahagian negara terbabit menjalinkan hubungan dengan Israel untuk membendung kemenangan dan kekuatan rakyat Palestin.

“Kebanyakan mereka ini memperoleh negara selepas jatuhnya kerajaan Othmaniah dan selama itulah menjadi alat kepada kuasa besar yang sentiasa menaungi Israel.

“Umat Islam dan pejuang kebebasan mesti bersuara menuntut negara-negara yang tidak menyokong Israel untuk melakukan tindakan bagi membela rakyat Palestin yang dijajah sejak sekian lama,” tambahnya lagi.