Malaysia Dateline

Adakah menteri maksudkan saham itu memang milik KP SPRM?

Dalam usaha untuk membela Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki yang terkait dengan kontroversi memiliki berjuta-juta saham atas namanya, tetapi didakwa kepunyaan adiknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tunku Jaafar berkata, harga saham tersebut tidak mahal dan mampu dimiliki oleh kebanyakan orang.

Beliau berkata, pada tahun 2016, satu juta saham yang dibeli oleh Azam itu hanya bernilai RM330,000 di mana harga sesahamnya adalah antara 30 sen dan 33 sen.

“Berdasarkan harga awal itu, ia bukanlah satu saham yang mahal untuk diperoleh.

“Saya percaya ia mampu dimiliki oleh kebanyakan daripada kita.

“Dan bagi mereka yang merupakan peniaga pasaran saham yang aktif, adalah perkara biasa untuk mereka meningkatkan pegangan saham secara beransur-ansur dari semasa ke semasa, terutamanya apabila melihat potensinya,” katanya lagi.

Wan Junaidi juga menegaskan, adalah tidak salah untuk penjawat awam memperoleh saham dalam syarikat senaraian awam.

Menurutnya, di bawah Akta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, penjawat awam hanya dilarang berdagang dalam pasaran hadapan, dalam dan luar negara.

Bagi penjawat awam yang memiliki saham dalam syarikat senaraian awam, tambahnya, mereka hanya dikehendaki mengisytiharkannya sebagai aset.

Apa maksud kenyataan Wan Junaidi itu?

Adakah dengan kenyataan ini Wan Junaidi ingin memberitahu umum bahawa saham-saham itu memang dibeli dan dimiliki oleh Azam Baki kerana sebagai penjawat awam, beliau mampu membelinya?

Tetapi, bukankah Azam Baki sendiri mengatakan saham-saham tersebut kepunyaan adiknya yang telah membelinya menggunakan namanya?

Sekarang, siapa kantoi?