Malaysia Dateline

Adakah Muhyiddin akan terus sokong Ismail Sabri jika Bersatu kalah dalam PRN Melaka?

Banyak tumpuan kini diberikan kepada “katak politik” dalam Pilihan Raya Negeri Melaka, tetapi masih tidak ada perbincangan bermakna mengenai prinsip dan integriti dalam berpolitik, seakan-akan perbuatan menukar parti politik ini satu dosa yang tidak boleh diampunkan.

Winston Churchill bertukar parti politik dua kali, pertama kali sebagai seorang ahli Parti Konservatif semasa beliau mula Ahli Parlimen pada tahun 1901, beliau kemudiannya bertukar ke parti Liberal pada tahun 1904 kerana membantah dasar “perlindungan” dalam Parti Konservatif. Kemudian pada tahun 1923, beliau kembali ke Parti Konservatif kerana membantah gabungan kerjasama parti Liberal-Buruh.

Adakah Churchill salah dalam berbuat demikian? Saya akan katakan tidak, kerana peralihan politik beliau ini berasaskan kepada prinsip beliau dan beliau bersedia untuk berhadapan dengan pilihan para pengundi.

Kerana inilah semasa saya cadangkan di Parlimen pada 21 Mac 1978 supaya satu undang-undang diadakan untuk mengelakkan perbuatan lompat parti, saya katakan:

“Pembelotan seorang Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri daripada parti yang memberikan mereka tiket untuk bertanding adalah satu perkara yang amat tidak diingini dan tidak beretika, kerana mereka diundi bukan semata-mata atas kualiti peribadi mereka, tetapi juga atas tiket parti yang diwakili mereka. Perbuatan seperti ini juga membolehkan ahli politik dijual beli seolah-olah mereka ini barangan di pasar.

“Sekiranya seorang Ahli Parlimen meletakkan jawatan atau dibuang daripada parti yang mana beliau bertanding sebelum ini, maka beliau perlulah mengosongkan kerusi beliau untuk memberi laluan kepada satu pilihan raya kecil. Sekiranya peletakan jawatan atau pemecatan itu berlaku di atas sebab-sebab prinsip politik yang disokong oleh rakyat, wakil rakyat tidak sepatutnya perlu bimbang mengenai peluang beliau untuk diundi semula.”

Dalam lima tahun pertama saya sebagai Ahli Parlimen Bandar Melaka dan Setiausaha Agung DAP, saya telah melalui pelbagai ujian.

Pada masa itu, “katak politik” boleh dikira sebagai matawang dan satu pertiga daripada 13 orang Ahli Parlimen dan 31 ADUN DAP dalam Pilihan Raya Umum 1969 akhirnya membelot, menjadi mangsa kepada taktik sogokan atau tekanan ugutan Barisan Nasional. Seorang MP DAP yang melompat parti ini akhirnya menjadi seorang Menteri MCA.

Terdapat cubaan serius untuk menzahirkan jangkaan seorang pemimpin kanan kerajaan pada awal tahun 70-an yang mengatakan DAP ini “sudah sebelah kaki di dalam kubur”, terutamanya selepas saya menolak tawaran MCA supaya DAP dibubarkan dengan menyertai MCA untuk beberapa orang pemimpin DAP menjadi Menteri dan Timbalan Menteri.

Saya tidak ragu-ragu untuk menolak tawaran MCA untuk menjadi seorang Menteri semasa saya hanya berusia 28 tahun sewaktu itu, kerana saya tidak percaya pembelotan dan pengkhianatan prinsip politik adalah caranya untuk mencapai cita-cita Malaysian First.

DAP bukanlah sebuah parti politik orang Cina, sebaliknya, parti politik untuk semua rakyat Malaysia — inilah prinsip yang kami pegang erat, biar apa pun cabaran politik yang dihadapi.

Komitmen pemimpin dan ahli-ahli parti kepada prinsip Malaysian First — bukannya meletakkan identiti perkauman, Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban dahulu — inilah yang menyatukan parti dan memberikan kekuatan untuk kita terus berkembang.

Mantan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, telah mengatakan dalam satu sidang secara maya untuk PRN Melaka di laman web Facebook malam semalam yang keputusan untuk membentuk Bersatu adalah kerana keadaan dalam negara sedang “teruk akibat isu kleptokrasi”.

Beliau mengatakan yang beliaulah orang disebalik pembentukan Bersatu dan bukannya mantan Perdana Menteri merangkap pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad.

Perkara ini mengingatkan saya kepada mesyuarat “gunting dalam selimut” bersama dengan Muhyiddin Yassin pada 25 Julai 2016 di Hotel Le Meridien di mana Muhyiddin cuba mendapatkan sokongan DAP untuk membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri.

Saya menolak untuk berbuat demikian, kerana DAP komited dengan keputusan untuk Anwar Ibrahim menjadi calon Perdana Menteri.

Saya amat tertarik dengan “pengakuan” Muhyiddin malam semalam kerana ia merupakan satu pengakuan pengkhianatan Muhyiddin terhadap manifesto Pakatan Harapan untuk membina semula negara dan memenuhi harapan rakyat.

Muhyiddin mengatakan Bersatu menyertai Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk gabungan politik yang kuat yang boleh menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.

Perkara ini menjadi realiti apabila PH menumbangkan BN dalam PRU 14 pada tahun 2018.

Tetapi Muhyiddin tidak pernah percaya kepada manifesto pilihan raya Pakatan Harapan ini, manifesto ini hanyalah satu muslihat bagi beliau untuk menipu pengundi.

Dengan Muhyiddin mendesak Mahathir untuk mengabaikan manifesto Pakatan Harapan, saya kini faham mengapa Perdana Menteri Pakatan Harapan ketika itu mengatakan yang manifesto PH ini bukanlah sebuah kitab suci, sebaliknya hanya merupakan satu panduan, dan juga tindakan-tindakan yang bertentangan dengan semangat Pakatan Harapan seperti penangkapan wakil rakyat DAP atas dakwaan dibuat-buat mengenai kaitan dengan aktiviti keganasan Tamil Tiger di Sri Lanka.

Muhyiddin juga mengatakan malam semalam yang beliau tidak berdendam dan membenarkan seorang pemimpin UMNO untuk menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Muhyiddin mengatakan, walaupun berhadapan dengan pilihan di antara membubarkan parlimen dan membuka jalan untuk pilihan raya baharu selepas kehilangan majoriti di Parlimen, beliau menolak jalan pembubaran, sebaliknya mencadangkan nama Ismail Sabri dari UMNO untuk memimpin sebagai Perdana Menteri baharu.

Beliau mengatakan salah satu sebabnya adalah beliau tidak mahu pembangkang, yang diketuai oleh Pakatan Harapan, untuk kembali berkuasa.

Mungkin Muhyiddin patut menyatakan sama ada beliau akan terus menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sekiranya Bersatu dikalahkan sepenuhnya oleh UMNO dalam PRN Melaka pada 20 November ini?
———
Artikel kedua daripada lapan artikel oleh Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang tentang “Tahun-tahun saya di Melaka”.