Malaysia Dateline

Adakah Pas berhak tentukan akidah seseorang Islam?

Kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menuduh Pakatan Harapan (PH) kumpulan “tidak beriman dan tidak bermoral” telah terkeluar dari kategori serangan politik tetapi lebih melibatkan soal menyoal akidah melibatkan mereka di dalam PH.

Apabila keimanan seseorang di persoalkan, ia melibatkan menyoal akidah seseorang seperti amanat Haji Hadi di Banggol Peradong, Terengganu pada tahun 1980an yang memulakan tuduhan khafir mengkafir yang di tujukan kepada golongan Umno.

Tuduhan tersebut telah menyebabkan perpecahan dahsyat dalam kalangan orang Islam khususnya di Terengganu dan Kelantan.

Ironinya, kini ia berlaku lagi semasa beliau sendiri menyeru untuk kononnya menyatupadukan orang Melayu dan Islam tetapi perbuatannya menjurus lebih kepada perpecahan sekali lagi dengan menyoal akidah pihak lain.

Pada tahun 80an, isu kafir mengkafir dilempar terhadap Umno yang menyebabkan peristiwa sembahyang dua iman, haram memakan daging sembelihan orang Umno dan tidak sah pernikahan oleh kadi bukan ahli Pas.

40 tahun kemudian selepas amanat Haji Hadi tersebut, keimanan mereka di dalam PH pula dipersoalkan tanpa asas atau apa-apa bukti.

Adakah mereka yang lain dari ahli Pas boleh dipersoalkan akidah mereka begitu sahaja tanpa usul periksa siasatan?

Kenapakah amanat Haji Hadi dalam isu kafir mengkafir yang telah dikategorikan ajaran sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia dalam portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), telah dipadamkan sebaik sahaja Pas menjadi sebahagian dari Kerajaan?

Adakah ini untuk memadam kesalahan lama yang kini diulangi sekali lagi?

Perkara ini telah pun dibawa kepada Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu dan adakah JAKIM boleh sewenang wenangnya memadamkannya fatwa Haji Hadi begitu sahaja?

Menteri Agama dari Pas YB Idris Ahmad dan Pengarah YADIM Nasruddin Hassan Tantawi yang juga dari Pas perlu menjawab isu ini.

Adakah Presiden Pas berkuasa mengkafirkan ahli Umno dahulu dan ianya boleh dipadamkan dari portal JAKIM dan kini berulang lagi mempersoalkan keimanan orang Islam dalam PH pula?

Saya dengan segala hormat dan sembah takzim memohon Majlis Raja-raja Melayu memandang berat isu ini di mana seolah-olah Presiden Pas dan menteri-menterinya berlagak mempunyai kuasa mutlak menentukan akidah sesama Islam dan membelakangkan Raja-raja Melayu yang merupakan Ketua Agama Islam.

Masjid dan Surau yang dimuliakan digunakan untuk menyebar fitnah sesama Islam oleh pimpinan kanan Pas termasuk kes mahkamah Haji Dusuki yang kalah kes fitnah YB Mujahid Yusof Rawa tentang tuduhan kononnya telah menjual harta Tabung Haji kepada bukan Islam.

Ramai pimpinan Pas lain telah mengunakan institisi Masjid dan Surau untuk memfitnah sesama Islam dan telah dihukum denda oleh Mahkamah kerana menfitnah.

Dalam masa membuat tuduhan tidak berasas PH kononnya mencabar kedudukan Raja-raja Melayu, Pas sebenarnya yang berlagak mereka lebih berkuasa dari Raja-raja Melayu dan Jabatan Agama Islam untuk menentukan ketetapan hukum berkaitan akidah seseorang tanpa siasatan atau perbicaraan.

Di ambang hari Malaysia ini adakah Pas berhasrat membawa Malaysia menuju kearah sistem Taliban diluar peraturan undang undang dan perlembagaan?

Pas tidak boleh dibenarkan sewenang-wenangnya berlagak diri mempunyai kuasa menentu dalam isu agama tanpa melalui proses perundangan Islam dan cuba mengatasi peranan dan kuasa Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam menjatuh hukuman atas isu keimanan seseorang atau mengkafirkan seorang Islam mengikut nafsu hati mereka.

Baca juga: TikToker Khaby Lame terima bayaran RM3.4 juta setiap video promosi, mampu raih RM45.27 juta tahun ini

Baca juga: Amaran ribut petir di 4 negeri sehingga 12 tengah hari