Malaysia Dateline

Adakah Pas Kedah utama 40 syarikat balak dari 4.2 juta rakyat?

Adalah tidak masuk akal bagi kerajaan baru negeri Kedah mengutamakan kepentingan 40 syarikat pembalakan melebihi kesejahteraan 4.2 juta rakyat dan ribuan perniaga di tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Demikian kebimbangan yang dizahirkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd dan PBAPP, syarikat pengurusan air Pulau Pinang, Datuk Ir Jaseni Maidinsa.

IR JASENI

Menurut beliau, pembalakan di Ulu Muda akan memberikan kesan kepada bekalan air untuk 4.2 juta penduduk yang tinggal di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

“Perlu diingatkan bahawa 2.2 juta daripada 4.2 juta orang yang akan terjejas teruk berada di negeri Kedah dan harus diketahui pada tahun 2018, kerajaan negeri Kedah dan Kerajaan Persekutuan terdahulu telah membuat keputusan yang tepat untuk mengharamkan pembalakan di Ulu Muda kerana mereka mengutamakan rakyat melebihi syarikat pembalakan dan dinamakan sebagai tadbir urus yang baik.

“Kini, kerajaan negeri Kedah dan kerajaan Persekutuan yang baru harus menyokong larangan pembalakan Ulu Muda atas alasan tersebut kerana Ulu Muda adalah lebih daripada sekadar hutan hujan serta sebagai kawasan tadahan air terbesar di utara Malaysia.

“Sebenarnya nilai sosio ekonomi adalah jauh lebih tinggi daripada premium pembalakan dan Pulau Pinang, Kedah serta Perlis sangat bergantung pada air hujan yang ditadah di Ulu Muda untuk operasi bekalan air setiap hari,” tegasnya.

Ujar Jaseni lagi, ketika ini tiada kawasan tadahan air lain yang dapat menggantikan Ulu Muda bagi ketiga-tiga buah negeri tersebut, malahan Ulu Muda merupakan sumber sosio ekonomi yang tidak boleh ditukar ganti dan amat diperlukan.

“Air mentah dari Ulu Muda membantu memacu ekonomi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Manakala anggaran sumbangan gabungan KDNK dari tiga buah negeri tersebut berjumlah RM150. 5 bilion pada tahun 2018.

“Inilah sebabnya kenapa Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) sebelum ini bertindak pantas bersama kerajaan negeri Kedah ketika itu melarang pembalakan di Ulu Muda pada tahun 2018.

“Tanpa air mentah yang mencukupi dari Ulu Muda, paip-paip di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis akan kering, bahkan kesan sosio-ekonomi akan menjadi bencana, terutamanya pada ketika kita sedang berjuang melawan Covid-19 dan berusaha untuk pulih dari impak ekonominya, ” katanya.

Beliau mengulas cadangan pembalakan oleh Menteri Besar Kedah dari Pas, Mohamad Sanusi Md Nor dalam sidang media beliau di minggu pertama selepas dilantik menjadi MB.