Malaysia Dateline

Adakah pembangunan ekonomi Malaysia akan jauh tertinggal pada ulang tahun negara ke-100?

Persoalan paling penting untuk Malaysia hari ini adalah bukan mengenai siapa yang bakal menang pilihan raya yang akan datang. Tetapi sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 nera dalam empat dekad dari sekarang dengan menjadi sebuah kleptokrasi yang lebih teruk

Gendang pilihan raya umum dipalu semakin kuat.

“Kluster mahkamah” mahukan pilihan raya umum diadakan sekarang, sebelum mana-mana ahlinya dihantar ke Penjara Sungai Buloh atas sabitan rasuah dan salah guna kuasa.

Perdana Menteri, Ismail Sabri pula sedang bertarung dalam persaingan dalaman kerana dia tidak mahu menjadi Perdana Menteri di Malaysia dengan tempoh berkhidmat terpendek dan kerana dia tidak yakin yang dia akan dipilih untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi sekiranya Umno menang dengan majoriti besar sekalipun.

Namun persoalan yang paling utama untuk Malaysia hari ini adalah bukan mengenai siapa yang akan menang dalam pilihan raya umum yang akan datang, sebaliknya, mengenai sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-seratus negara, empat dekad dari sekarang.

Apakah gunanya kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 sekiranya Malaysia terus mundur dan ditinggalkan di belakang semakin banyak negara, akhirnya hanya menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-seratus negara, dengan Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi yang lebih buruk?

Semasa Malaya, kini Malaysia, mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957, Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman menyatakan harapan untuk negara baharu ini menjadi suatu “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.

Kita kini berada dalam tahun ke-65 usaha pembinaan negara bangsa.

Adakah kita sedang mencapai visi Tunku untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” ini atau adakah kita telah kehilangan visi sebegini dan hanya menyumbang kepada “dunia yang sukar dan terganggu” ini dengan menjadi sebuah kleptokrasi?

Pada tahun 1971, Perdana Menteri kedua, Tun Razak, memperkenalkan Rukun Negara dan DEB.

Pakar ekonomi veteran dan pengasas Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), an Sri Kamal Salih menggesa pemansuhan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan menggantikannya dengan dasar berasaskan keperluan untuk membaik pulih ekonomi.

Dia berkata “Hanya 10%, yang merupakan orang kaya, telah mendapat manfaat daripada DEB. Selebihnya, seperti M20 dan B40, berhadapan kesusahan. Jurang pendapatan terus melebar selepas pandemik.”

Kamal menegaskan bahawa terdapat dianggarkan 800,000 rakyat Malaysia yang menganggur, di mana kira-kira 30% daripadanya adalah graduan yang “tiada tempat untuk ditujui”.

Dia juga berkata kira-kira 90% pekerja di Malaysia mempunyai pekerjaan yang tidak sepadan, dengan orang berada di kedudukan atau bidang kerja yang tidak kena dengan latihan yang diterima mereka.

“Kita perlu mengatasi perkara ini. Juga terlalu banyak campur tangan politik dalam ekonomi. Ia tidak produktif.”

Nazir Razak, anak kepada perdana menteri kedua Malaysia yang merupakan arkitek Dasar Ekonomi Baru (DEB) Abdul Razak Hussein, berkata banyak prinsip dalam DEB tidak lagi berfungsi dan sebaliknya membawa kepada politik yang tempang dan perpecahan yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Dia berkata status quo sedia ada tidak dapat dipertahankan lagi dan bertanya sama ada pemimpin negara mempunyai inisiatif untuk membangun dan melaksanakan sistem politik, ekonomi, dan sosial baharu kerana DEB tidak dimaksudkan sebagai penyelesaian kekal.

Seorang bekas Menteri, Tan Sri Rafidah Aziz, telah mengatakan yang bantuan perlulah diberikan kepada yang memerlukan dan bukannya hanya kepada bumiputera, sebaliknya kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Dia mengatakan yang dia sendiri tidak terkira berapa banyak syarikat baharu yang telah diberikan banyak wang tanpa membawa hasil yang dapat dilihat rakyat.

Dia menanyakan, berapa lama lagi untuk golongan bumiputera terus memerlukan tongkat.

Menjadi suatu petanda kegagalan negara kita untuk membina sebuah negara yang bersatu padu daripada masyarakat majmuk pelbagai bahasa, budaya, dan tamadun yang bertemu di Malaysia sekiranya seorang bukan-Melayu yang mengatakan DEB telah gagal terus dilabel sebagai seorang yang anti-Melayu.

Terdapat keperluan untuk lebih ramai pemimpin dan cendekiawan Melayu untuk bangkit dan bertanya, “Di manakah silapnya?” sehingga Malaysia tidak berjaya untuk memenuhi potensinya untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, sebaliknya kini berhadapan dengan sindrom penafian, sehingga ada pemimpin yang cuba menafikan yang negara kita telah menjadi sebuah kleptokrasi.

Bekas Menteri Besar Perlis dan bekas Presiden Dewan Negara, Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh berkata Malaysia berada di landasan untuk menjadi negara terburuk di dunia melainkan pemimpinnya mengubah cara mereka memimpin negara.

Dia berkata, masalah – daripada penjagaan kesihatan, kepada ekonomi dan politik – yang melanda negara akan menjadi lebih teruk melainkan satu perubahan berlaku tidak lama lagi.

Dia menyalahkannya pada sistem pendidikan, yang gagal melahirkan pemimpin yang sesuai untuk era globalisasi baharu dan kemunculan ancaman besar, seperti Covid-19.

Kita telah gagal untuk mencapai Wawasan 2020 untuk membentuk sebuah negara yang bersatu padu dan maju, sebuah Bangsa Malaysia, yang disemai dengan nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil dan saksama dari segi ekonomi, progresif dan makmur, dan memiliki ekonomi yang berdaya saing, dinamik, teguh dan berdaya tahan.

Kita telah gagal mencapai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 untuk berada di atas kedudukan purata global dan berada dalam satu pertiga teratas negara dalam standard pendidikan antarabangsa.

Slogan 1Malaysia telah digantikan dengan skandal 1MDB.

Kita telah meningkatkan pendapatan per kapita negara kita sebanyak 30 kali ganda dari 1970 hingga ke hari ini tetapi dalam pada masa yang sama, rasuah dan skandal kewangan telah meningkat 63,000 kali ganda dalam tempoh yang sama, seperti yang digambarkan skandal Bank Rakyat yang bernilai RM100 juta pada tahun 1979, skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) pada 1983 yang bernilai RM2.5 billion yang kemudiannya diikuti oleh skandal 1MDB dalam dekad yang lepas yang bernilai RM42 billion.

Dalam tempoh setengah abad yang lepas, Malaysia ditinggalkan di belakang Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong dan Vietnam.

Adakah kita akan ditinggalkan di belakang China dan Indonesia sebelum penghujung dekad ini dalam penerbitan tahunan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI)?

Adakah kita akan ditinggalkan dengan lebih banyak negara dari segi pembangunan ekonomi, mungkin kepada Indonesia dan Filipina, menjelang 2040 atau 2050 – jauh sebelum ulang tahun ke-100 Malaysia?