Adakah pengecualian polisi kabotaj terpakai kepada perkapalan antarabangsa?

Adakah pengecualian polisi kabotaj terpakai kepada perkapalan antarabangsa?

Pertubuhan Angkatan Bersatu Pewaris Sabah (Pewarsa) hari ini meminta pihak kerajaan untuk memperjelaskan kepada rakyat terutama anak jati Sabah berkenaan maklumat mengenai pengecualian polisi kabotaj terhadap Sabah, Sarawak dan Labuan seperti yang diumumkan oleh Perdana Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Perkara ini diminta agar mengelakkan berlakunya salah faham yang mana majoriti rakyat Sabah menganggap ianya telah dimansuhkan sedangkan, semalam Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan hanya mengatakan berkenaan “Pengecualian” polisi kabotaj kepada Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Najib itu perlu diberi perhatian serius kerana ini melibatkan kepentingan dua wilayah terbesar di Malaysia.

“Rakyat Sabah dan Sarawak berhak tahu lebih lanjut apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan “Pengecualian” polisi kabotaj itu, adakah ianya juga terpakai kepada mana-mana perkapalan antarabangsa yang boleh langsung berlabuh di pelabuhan Sabah dan Sarawak tanpa melalui Pelabuhan Klang?,” soal Presiden Pewarsa Dr Saifullah Mohd Hisham kepada Malaysia Dateline hari ini.

Menurut Saifullah lagi generasi muda Sabah yag celik maklumat berkenaan polisi kabotaj yang menjadi penyumbang kepada jurang harga diantara barangan di Semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak sudah tentu menantikan maklumat terperinci berkenaan pengumuman yang dibuat oleh perdana menteri semalam di Sandakan.

“Kita sangat berterima kasih sekiranya perkara ini adalah demi kebaikan rakyat Malaysia yang berada di Sabah dan Sarawak,” tambahnya lagi.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan pengecualian dasar kabotaj aktiviti perkapalan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan bermula 1 Jun ini,untuk melaksanakan pengecualian dasar kabotaj bagi aktiviti perkapalan yang menjalankan perkhidmatan pengangkutan kargo.

Pengecualian dasar kabotaj yang sebelum ini dikatakan merupakan punca kenaikan harga barang di Sabah dan Sarawak.

 

COMMENTS

Wordpress (0)