Malaysia Dateline

Abdul Hadi Awang

Adakah peristiwa Amanat Hadi akan berulang menjelang PRU15?

“Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO.

“Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan.

“Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka.

“Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.”

Demikian kata Abdul Hadi Awang dalam amatnya kepada ahli-ahli PAS di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

Tanya pak cik, mak cik, abang long, pak long, yang tinggal di kampung-kampung pada awal era 90-an, pasti terselit kisah tentang keadaan yang kini mungkin kendengaran janggal di mana terdapat surau yang hanya dikunjungi oleh pengikut PAS dan satu lagi surau lain yang hanya mengumpulkan jemaah berhaluan UMNO, meskipun mereka duduk sekampung.

Situasi itu memperlihatkan kebencian yang menebal dalam kalangan pengikut kedua-dua parti itu suatu ketika dahulu. Sehinggakan solat lima waktu pun terpaksa dua imam.

Lebih tiga dekad berlalu, “perlembagaan penjajah”, “undang-undang kafir” dan “peraturan jahiliyah” yang dikatakan Hadi masih lagi terpasak kerangkanya, dan kemasukan PAS ke dalam Kerajaan Persekutuan tidak mengubah langsung hakikat itu.

Semuanya dibakulsampahkan seperti mana RUU355 yang dilaung-laungkan sebelum ini. Ini berlaku selepas PAS mendaki puncak kuasa hasil bantuan UMNO dan pengkhianatan beberapa pemimpin Bersatu.

Malah, PAS kini tampak selesa berpeluk dan berlaga pipi penuh kesyahduan dengan pemimpin-pemimpin UMNO – kononnya demi perpaduan Ummah – meskipun salah seorang daripada mereka telah disabitkan bersalah oleh mahkamah atas kesalahan penyelewengan dana kerajaan.

Seperti “amanat” PAS yang disifatkan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub sebagai “kitab azimat”, Hadi Awang juga tidak terlepas dengan tabiatnya yang gemar mengeluarkan “dalil bagi “menghalalkan” segala yang pernah “diharamkannya” dulu.

Kebanyakan dalil yang dikeluarkan Hadi Awang sejak akhir-akhir ini adalah untuk menghalalkan “ghanimah” yang diperoleh gerombolannya hasil menyiat-nyiat mandat yang diberikan rakyat kepada Pakatan Harapan pada Mei 2018.

Namun, sebuah gabungan yang dibentuk untuk merampas kuasa dan tidak bertunjangkan niat untuk benar-benar membela nasib rakyat apatah lagi mengangkat agenda Ummah, tidak akan bertahan lama.

Perkara ini dilihat sendiri seorang veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub. Sebagai orang lama dalam politik tentu beliau sudah faham dan masak dengan gelagat pemimpin PAS.

Bercakap kepada Malaysiakini, Setiausaha Veteran UMNO itu menyifatkan hubungan UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) sudah tidak seakrab dahulu.

Perubahan itu dirasai beliau selepas PAS mendapat kuasa dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan sejak itu hubungan kedua-dua parti semakin renggang.

“Ya, hubungan antara PAS dengan UMNO tidak seintim dulu lagi khususnya selepas PAS mendapat jawatan dalam kerajaan.

“Orang kata kalau umpama orang yang baru kahwin, tidur tidak lagi berpelukan.

“Kita nampak dan kita sedar hubungan itu kini sedikit renggang, namun tidak ada pergeseran,” katanya.

Malah, hubungan PAS dan UMNO di peringkat negeri semakin suram. Sepertimana yang dapat dilihat di Perak, di mana Menteri Besar dari Bersatu telah digulingkan oleh UMNO.

PAS ketika itu mengambil sikap untuk berpihak dengan Bersatu. Masakan tidak, satu-satu pemimpin PAS dilantik ke dalam Kerajaan Persekutuan yang diketuai Bersatu; terbaru Ketua Pemuda PAS Ir Khairil Nizam Khirudin dilantik menjadi Ahli Dewan Negara.

Keretakan demi keretakan muncul selepas peristiwa itu. Pemimpin PAS dan UMNO di peringkat akar umbi kian berbalah. Menuju ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak mustahil keretakan itu akan merebahkan gabungan itu dan akhirnya menyedarkan rakyat tentang sandiwara yang bermain di balik tabir kuasa.

Seperti yang diramalkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hubungan antara PAS-UMNO-Bersatu bakal terkubur pada PRU akan datang, malah beliau yakin kerjasama PAS dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) tidak akan bertahan berdasarkan sejarah hubungan mereka.

Meskipun kita tidak bersetuju dengan Mahathir dalam keputusan yang diambil beliau sebelum ini, namun dalam soal ini mungkin ada kebenarannya.

Adegan-adegan dan gelagat pemimpin ketiga-ketiga parti ini yang dipertontonkan kepada kita memperkuatkan lagi ramalan Mahathir itu.

Adakah Amanat Hadi akan dihidupkan semula? Siapa pula bakal menjadi sasarannya? Masihkah UMNO atau Bersatu? Hanya masa yang akan menentukan.