Adakah Presiden Pas diresapi Syiah? soal AJK Amanah Kedah

Adakah Presiden Pas diresapi Syiah? soal AJK Amanah Kedah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketika Penasihat Umum Amanah Ustaz Ahmad Awang dan Timbalannya Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin menjadi sasaran para penyokong Pas kerana menghadiri Persidangan Persatuan Ulama Resistensi Sedunia di Beirut, Lubnan, 5 Mei lalu, kehadiran Presiden Pas dalam mesyuarat Majma’ Taqrib Bainal Mazahib yang diadakan di Tehran, Iran pada Disember tahun lalu dibangkitkan Ahli Jawatankuasa Amanah Negeri Kedah.

Menurut Ustaz Ridzwan Abu Bakar, jika kehadiran dua pemimpin Amanah dalam sidang ulama di Beirut itu dijadikan bukti kononnya mereka pengikut Syiah dan Amanah telah diresapi ajaran Syiah, adakah kehadiran Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sidang ulama di Tehran membuktikan beliau menganut ajaran Syiah dan Pas telah diresapi Syiah?

“Dua tiga hari ini, ruang maya kita dipenuhi dengan persoalan kehadiran Penasihat Umum Amanah dan Timbalannya dalam satu pertemuan di Beirut, Lubnan yang turut dihadiri oleh agamawan Syiah dan pemuka Hizbullah,” kata Ridzwan.

Menurut Ridzwan, tiga persoalan telah dikemukakan para penyokong Pas berhubung pertemuan itu:

1. Ini menjadi bukti Amanah telah diresapi Syiah.

2. ‘Berdosa’ hadir dalam pertemuan itu kerana turut dihadiri oleh agamawan Syiah.

3. ‘Berdosa’ hadir kerana (persidangan itu) dibiayai Iran (yang bermazhab Syiah).

Abdul Hadi bersama Mufti Syria (Mufti Kerajaan Bashar al-Asad) dalam bengkel sempena Muktamar Pendekatan antara Mazhab di Tehran, Iran pada Disember 2015.Sehubungan itu, beliau menyiarkan dua foto kehadiran Abdul Hadi dalam Muktamar Taqrib Bainal Mazahib (persidangan pendekatan antara mazhab) pada bulan Disember 2015 di Tehran, Iran dan melontarkan tiga soalan berikut:

1. Penganjur muktamar tersebut adalah Iran, apakah tidak berdosa hadir pertemuan tersebut?

2. Apakah Pas juga diresapi Syiah kerana Presiden Pas hadir dalam muktamar tersebut?

3. Apakah ‘tidak salah’ Presiden Pas hadir di majlis yang sama dengan Mufti Syria (yang bekerja dengan Presiden Bashar al Asad)?

“Untuk ‘pandangan’ lanjut akan menyusul. Kita mula dulu dengan soalan.

“Saya sekadar bertanya untuk merangsang kita supaya berfikir dengan betul dan adil,” ujar beliau di laman facebooknya.

Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin bergambar dengan Dr Taufiq al-Buthi (tengah), anak Dr Syed Ramadhan al-Buthi, seorang pensyarah Syariah di Universiti Damsyik, Syria ketika menghadiri persidangan di Beirut yang turut dihadiri oleh agamawan Syiah.

 

TAGS