Malaysia Dateline

Adakah ramalan 24,000 kes sehari pada September akan terjadi lebih awal pada Ogos?

Adakah ramalan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada tiga minggu lalu bahawa jumlah kes Covid-19 di Malaysia dijangka akan meningkat sehingga 24,000 sehari pada pertengahan September akan terjadi satu bulan lebih awal iaitu pada pertengahan Ogos ini?

Dalam tempoh enam hari yang lalu, kes kematian harian baharu telah melebihi paras 200, antara 201 kes pada 10 Ogos hingga 360 kes pada 8 Ogos.

Sekiranya purata kes harian untuk enam hari lalu mewakili purata kes harian untuk sepanjang bulan Ogos, maka kita akan menyambut Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos dalam suasana yang suram kerana kita bakal mengumpulkan sebanyak 1.7 juta kes Covid-19 dan merekodkan lebih 15,000 kematian.

Kita mungkin bakal melihat 6,000 kematian akibat Covid-19 dicatatkan pada bulan Ogos sahaja, sedangkan kita mengambil masa selama 13 bulan untuk mencapai jumlah seribu kematian yang pertama pada 17 Februari 2021 dengan 1,005 orang.

Semasa Dr Noor Hisham meramalkan bahawa Malaysia mungkin mencapai tahap kemuncak penularan Covid-19 pada pertengahan September, beliau tidak menyangka ramalannya akan menjadi kenyataan, kerana beliau hanya memberikan gambaran situasi terburuk yang beliau sendiri berharap dapat dielakkan.

Perkara terakhir yang diharapkan oleh Noor Hisham adalah untuk melihat ramalannya terjadi sebulan lebih awal – satu lagi bukti kesilapan kerajaan dalam menangani wabak Covid-19 di Malaysia yang telah meletakkan negara ini menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk di dunia dalam mengendalikan wabak tersebut!

Aktivis masyarakat, Dr. Mohamad Rafick Khan menyifatkan sebarang keputusan untuk mengikut rancangan asal pembukaan semula sekolah seperti yang diumumkan Kementerian Pendidikan pada 17 Julai 2021 sebagai suatu “tindakan bunuh diri”.

Semasa Kementerian Pendidikan mengumumkan keputusan itu pada 17 Julai, terdapat 12,541 kes Covid-19 dan 115 kematian pada hari sebelumnya, 16 Julai. Semalam, terdapat 21,668 kes baru Covid-19 dengan 318 kematian dicatatkan.

Pada 16 Julai, jumlah kes kumulatif Covid-19 adalah 893,323 dengan 6,728 kematian. Hari ini, angka itu meningkat kepada 1,342,215 kes dengan 11,691 kematian.

Saya bersetuju dengan Dr. Rafick bahawa untuk sekolah dibuka semula semasa musim wabak Covid-19, ia mesti mempunyai Manual Pengurusan Risiko COVID (CRMM) yang baik yang memberi kuasa kepada jawatankuasa pengurusan risiko, menyediakan dana yang diperlukan dan melaksanakan Garis Panduan Pengurusan Risiko Covid (CMRG) di sekolah. Pengurusan risiko adalah usaha gabungan sekolah, ibu bapa dan profesional perubatan.

Pengurusan Risiko Covid-19 (CRM) berlainan untuk setiap jenis sekolah. Mungkin ada komponen yang sama tetapi secara umum, kelainan itu bergantung kepada jenis sekolah tersebut; sama ada sekolah berasrama penuh atau bukan asrama selain mengambil kira usia pelajar.

Vaksinasi adalah komponen Garis Panduan Pengurusan Risiko Covid-19 (CRMG), tetapi yang paling penting CRMM dirancang dengan tujuan pencegahan dan pengurusan wabak untuk mengesan mereka yang dijangkiti dan mencegah jangkitan lanjut.

Kementerian Pendidikan harus mempertimbangkan semula keputusannya untuk membuka semula sekolah pada 1 September dan mengadakan perbincangan dengan guru, ibu bapa dan pengamal perubatan mengenai isu tersebut.