Adakah reformasi media era PH contohi Indonesia pasca kejatuhan Soeharto?

Adakah reformasi media era PH contohi Indonesia pasca kejatuhan Soeharto?

Keputusan mengejutkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Malaysia membuatkan saya merasai deja vu yang kuat. Saya berada di Jakarta bertugas sebagai profesor Fulbright pada 21 Mei, 1998, pada hari Soeharto disingkirkan selepas 32 tahun.

Walaupun saya berada di Washington DC pada 9 Mei dan tidak dapat menyaksikan senario di Malaysia secara terus dengan mengikuti laporan langsung Malaysiakini untuk berada di sana melalui maya. Dalam beberapa cara, pilihan raya Malaysia lebih mengejutkan saya berbanding apa yang pernah saya saksikan di Indonesia hampir genap 20 tahun lebih awal.

Walaupun saya sayang pada Malaysia, saya tidak begitu mengikuti pilihan raya itu secara dekat. Hampir semua perkara merunsingkan: Anwar dipenjara, Pas berpecah. Kerajaan BN telah menggunakan segala muslihat tidak demokratik yang ada berusaha untuk membuang pilihan raya: persempadanan tidak adil, pilihan raya pada pertengahan minggu, masa yang tidak mencukupi untuk rakyat Malaysia di luar negara mengundi melalui pos.

Tetapi rakyat Malaysia bersuara, dan suara mereka bergema kuat. Cukup, cukuplah. Bertemu dan makan tengah hari bersama seorang kawan di sebalik lain dunia, kami mengikuti keputusan pilihan raya itu dengan rasa tidak percaya, terpaksa mencubit diri untuk memastikan bahawa kami tidak bermimpi.

Malaysia layak memiliki saat meraikannya. Satu revolusi yang aman, selepas lebih 60 tahun pemerintahan satu parti, dan tidak ada setitik darah pun tumpah! Jembalang 13 Mei 1969, akhirnya telah boleh disemadikan.

Tetapi sekarang kerja keras bermula. Sebagaimana gembiranya saya dengan hasil pilihan raya itu, saya juga bimbang. Apakah Malaysia akan mengambil langkah untuk menyelamatkan reformasi yang paling penting sekali – kebebasan media?

Kalaupun ada sesuatu yang dapat saya pelajari dengan mengikuti perkembangan media di Indonesia dan Malaysia untuk 20 tahun yang lalu, ia adalah ini: semua reformasi mengikuti selepas kebebasan media, dan para wartawan mesti memimpin untuk menuntutnya.

Jika ada sesuatu yang menyelamatkan peralihan kepada demokrasi di Indonesia, ia adalah Undang-Undang Penerbitan 1999, yang dirangka dan diluluskan sebahagian besarnya disebabkan bagaimana para wartawan terus memberi tekanan kepada kerajaan baharu.

Wartawan di Malaysia menghadapi banyak cabaran. Sebagaimana Reporters Without Borders dan Freedom House melaporkan bertahun-tahun, walaupun Perlembagaan Malaysia menjamin kebebasan bersuara, ia juga membenarkan pelbagai had dikenakan ke atas hak ini.

Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan undang-undang jenayah yang keras kerap kali digunakan untuk mengenakan had kepada media dan pengkritik kerajaan. Walaupun Selangor dan Pulau Pinang telah meluluskan undang-undang kebebasan maklumat, Malaysia tidak ada undang-undang peringkat persekutuan yang memberi jaminan seperti itu, dan pegawai-pegawai rasmi enggan berkongsi biarpun maklumat asas dengan wartawan – termasuk kandungan cadangan penggubalan undang-undang – takut didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Dan serupa dengan keadaan dalam era Soeharto di Indonesia, Akta Penerbitan dan Percetakan (PPPA) memberikan kerajaan kuasa untuk mengeluarkan atau menolak permohonan lesen dan membatalkan lesen pada bila-bila masa tanpa sebarang pandangan kehakiman.

Setakat ini kerajaan baharu Pakatan Harapan bercakap perkara yang betul mengenai kebebasan media. Malah sebelum pilihan raya, Presiden PKR Wan Azizah berjanji bahawa sekiranya pakatan mereka menang, mereka akan mengkaji semula semua undang-undang dan peraturan yang menyekat media.

Serupa juga, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi jaminan bahawa Pakatan Harapan “akan akan menubuhkan majlis media yang terdiri daripada tokoh-tokoh media, yang akan bertanggungjawab untuk membangun dan melaksanakan kod etika berhubung laporan dan bertindak sebagai badan rasmi bagi aduan awam.”

Adalah sangat mengujakan melihat Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu, Gobind Singh Deo berkata bahawa kerajaan akan mewujudkan majlis media, dan organisasi media yang gembira seperti Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) memperingatkan Pakatan Harapan supaya mengotakan janjinya.

Center for Independent Journalism (CIJ) dan Institut Wartawan Malaysia (IOJ) juga turut bersuara, menegur Perdana Menteri yang baharu bahawa adalah tidak cukup sekadar “meneliti semula” Undang-Undang Anti Berita Tidak Benar, tetapi ia harus dihapuskan sama sekali.

CIJ malah pergi lebih jauh, dengan berkata bahawa SEMUA undang-undang yang menekan kebebasan media perlu dihapuskan termasuk Akta Hasutan, dan Akta Penerbitan dan Percetakan. Dan IOJ pula berkata “Sementara kita menyambut baik langkah pantas kerajaan baharu untuk mengulangi komitmennya berhubung kebebasan media dan juga mendesak ke arah penubuhan majlis media, kami ingin mengingatkan dan menyarankan kementerian berkaitan bahawa sebarang cadangan perlu dibuat bersama perunding yang aktif bersama pemegang saham termasuk kumpulan media.”

Semua ini merupakan tanda-tanda yang baik, tetapi wartawan perlu berbuat lebih daripada hanya sekadar mengeluarkan kenyataan.

Adalah jelas buat wartawan Indonesia bahawa kebanyakan daripada apa yang telah dicapai oleh Indonesia sejak kejatuhan Soeharto tidak mungkin berlaku tanpa kebebasan media. Wartawan memberitahu kepada orang awam tentang kandungan draf undang-undang yang menekan itu. Mereka membongkar skandal-skandal, melaporkan kecurian dana awam, dan mengkaji fakta berhubung apa yang dicakap oleh ahli politik dan calon-calon untuk jawatan awam.

Mereka menerbitkan secara terperinci jenayah yang dilakukan mereka yang dulunya tidak boleh disentuh – termasuk Tommy Soeharto, yang pada 2002 didakwa menjadi dalang kepada pembunuhan hakim yang telah menjatuhkan hukuman penjara ke atas beliau atas kesalahan rasuah.

Tetapi bagaimana semua ini dapat dicapai? Bermula dengan peletakan jawatan Soeharto dalam bulan Mei 1998, wartawan Indonesia tidak membuang masa, terus menekan kerajaan yang baharu supaya melakukan perubahan.

Sehari selepas Soeharto meletak jawatan, pertubuhan Aliansi Jurnalis Independen (AJI) yang masih diharamkan, mengedarkan senarai tuntutan yang mereka sifatkan sebagai penting buat kebebasan media. AJI ditubuhkan dalam 1994 sebagai respons bukan sahaja terhadap pengharaman majalah Tempo, Editor dan Detik, tetapi juga terhadap reaksi mesra Persatuan Wartawan Indonesia atau PWI yang mengatakan bahawa mereka “faham” mengapa majalah-majalah berkenaan diharamkan.

Dalam ucapan sulungnya pada 23 Mei, Menteri Informasi Indonesia yang baharu, Lieutenant General Muhammad Yunus Yosfiah, berjanji bahawa beliau akan menyokong wartawan dalam profesyen mereka. Tidak yakin bahawa beliau akan mengotakan janjinya, sekumpulan wartawan yang diketuai oleh aktivi AJI Roy Tumpal Pakpahan mengadakan demonstrasi di depan bagunan Jabatan Informasi pada 28 Mei, dan menuntut untuk bertemu dengan menteri baharu itu.

Apa yang mengejutkan, mereka diterima dan dibawa ke bilik resepsi beliau. Wartawan veteran, Atmakusumah Astraatmadja, yang disenarai hitam daripada terlibat dalam bidang kewartawanan selepas pengharaman akhbar Mochtar Lubis, Indonesia Raya dalam 1974, mengunkap kembali apa yang terjadin selepas itu:

Mereka membawa 10 tuntutan yang terdiri daripada pelbagai jenis. Mereka mahu menyerahkannya kepada Yunus. Tetapi terdapat ketidakpastian sama ada mereka dapat bertemu beliau atau sebaliknya. Dan kemudian, ia menjadi berita. Beliau ada di situ, dan beliau bersedia untuk bertemu. Kami dijemput masuk ke bilik mesyuarat Jabatan Informasi. Saya masih ingat bahawa dalam kalangan wartwan veteran, hanya saya dan Goenawan Mohamad. Kesemua yang lain masih sangat muda, termasuk Roy. Jadi Roy membacakan 10 tuntutan itu. Dan apabila Yunus menjawab ucapan Roy, beliau berkata “saya bersetuju dengan kesemuanya”.

10 tuntutan itu padat, bermula dengan pembatalan peraturan yang dibuat oleh bekas Menteri Informasi, Harmoko (termasuk hak kementerian untuk membatalkan lesen penerbitan) sehingga kepada penamatan keperluan bahawa hanya PWI merupakan organisasi yang dibenarkan mewakili wartawan. Seminggu selepas itu, Yunus menunaikan janji yang dibuat dan membatalkan peraturan yang ditandatangani Harmoko pada 1984. Dengan mengatakan bahawa semakan semula Undang-Undang Media mungkin memakan masa kerana ia melibatkan dewan perundangan, beliau bagaimanapun telah membuang banyak peraturan yang digunakan untuk menekan media. Sebagaimana yang disebut oleh Jakarta Post:

Yunus seakan tidak percaya apabila beliau mendapati bahawa untuk mendapatkan lesen, penerbit mesti memenuhi 16 syarat dan perlu mendaptkan tiga permit berasingan…Sekarang permohonan hanya perlu tiga syarat untuk memulakan penerbitan: Isi borang, daftar syarikat, dan kemukakan senarai eksekutif.

Yunius menjanjikan proses permohonan lesen yang cukup cepat: “Jika anda mohon hari ini, Insya Allah permit akan dikeluarkan lusa.”

Menteri itu seterusnya mengumumkan bahawa PWI bukan lagi satu-satunya badan yang dibenarkan mewakili wartawan, dan bahawa kerajaan tidak membantah mana-mana wartawan menyertai AJI, atau mana-mana organisasi juga. Dan akhirnya, beliau mengesahkan bahawa penerbit yang kehilangan lesen sewaktu di bawah pemerintahan Soeharto, hanya perlu membuat permohonan semula. Tuntutan-tuntutan paling penting AJi telah ditunaikan.

Masyarakat media bergerak pantas memanfaatkan perubahan tersebut, sementara pada masa sama terus memberikan tekanan kepada kerajaan supaya membuang kekangan yang masih ada dan menginstitusikan kebebasan baharu.

Sebagaimana Eros Djarot, pengarang tabloid Detik yang diharamkan berkata: “Saya percaya pada komitmen Yunus terhadap kebebasan media. Tetapi beliau tidak akan menjadi menteri selama tiga puluh tahun. Apa akan jadi pada media jika menteri penggantinya seperti Harmoko?”

Perkara utama yang menjadi perdebatan ialah Menteri Informasi masih mengekalkan hak untuk menggantung lesen penerbitan jika mereka melanggar peraturan permit, tetapi hanya “untuk suatu tempoh masa.” Atmakusumah Astraatmadja menyifatkan respons Muhammad Yunus terhadap tuntutan kawalan media yang lebih longgar sebagai “agak mengagumkan” tetapi jelas beliau, pengekalan hak kementerian untuk menggantung permit penerbitan dan juga keperluan bahawa semua wartawan menjadi ahli kepada “organisasi media” menunjukkan bahawa kerajaan masih belum memenuhi tuntutan wartawan terhadap “perubahan total”.

Dalam Julai 1998 – dalam bentuk yang seluruhnya terbalik dalam melakukan sesuatu yang biasa – Jabatan Informasi mula bekerja dengan wartawan dalam merangka Undang-Undang Media yang baharu. Atmakusumah dijemput menyertai perbincangan-perbincangan ini, dan seingat beliau perbincangan berkenaan hangat. Terdapat banyak isu yang menjadi perbalahan, termasuk sama ada kod etika perlu dimasukkan ke dalam undang-undang tersebut, sama ada wajib bagi syarikat penerbitan menyediakan saham berasingan buat wartawan, dan sama ada kerajaan perlu menetapkan standard daya saing kewartawanan.

Dalam satu pertemuan dengan Serikat Perusahaan Pers (SPS) pada 10 Julai, Presiden Habibie mencadangkan agar wartawan dikehendaki “memperbaharui lesen” bagi mengekalkan standard tinggi profesionalisme. Setiausaha PWI Jeneral Parni Hadi, yang dikenali sebagai penasihat rapat kepada presiden berkaitan hal-hal media, menjelaskan bahawa dalam pandangan Habibie itu, lesen tersebut seperti apa yang diperlukan dalam profesion perubatan, sah untuk satu tahun, tetapi boleh dibatalkan sekiranya wartawan berkenaan tidak profesional atau tidak layak.

Tindak balas terhadap cadangan presiden itu cukup cepat. Goenawan Mohamad, bekas pengarang Tempo, menggelarnya sebagai “malang” dan “kekecewaan besar”. Dengan menjelaskan bahawa bidang kewartawanan – berbeza dengan bidang perubatan – merupakan profesion yang terbuka, beliau berkata pengarang-pengarang adalah mereka yang patut bertanggungjawab terhadap kualiti bidang kewartawanan. Walaupun terfdapat tentang-tentangan ini, Antara melaporkan bahawa penasihat Habibie dan lembaga PWI yang pilih kerajaan terus menyokong rancangan mengenakan lesen itu.

Janet Steele ketika melawat Ahmad Lutfi Othman di hospital baru-baru ini.

Pada September 1988, garis pertempuran menjadi jelas; para wartawan perlu mendesak kerajaan Habibie supaya patuh pada janji untuk melakukan perubahan, dan mereka juga perlu bergerak lebih cergas bagi menghadapi kemungkinan ia gagal.

Pada 14-15 Oktober, sekumpulan wartawan, aktivis dan organisasi media mewujudkan kesatuan baharu; Masyarakat Pers Indonesia atau MPI. Pada penghujung persidangan dua hari di Jakarta itu, mereka menandatangani satu kenyataan menyeru Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR) mengeluarkan dekri menjamin kebebasan media dalam sesi khas dari 10 hingga 30 November.

Sesi luar biasa Majelis Permusyawaratan Rakyat pada 10-13 November 1988 itu merupakan suatu peristiwa yang sangat penting dalam proses reformasi. MPR, badan legistatif tertinggi Indonesia, perlu memansuhkan mandat lima tahun yang diberikan kepada Soeharto dan Habibie dalam bulan Mac 1988, dan meluluskan jadual bagi pilihan raya baharu dalam bulan Jun 1999.

Berikutnya dijangkakan akan meminda Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan presiden kepada dua penggal lima-tahun, dan mengeluarkan “Resolusi MPR” yang akan mengikat negara dengan pelbagai arah tindakan. Salah satu daripada resolusi yang dicadangkan itu ialah kerajaan dikehendaki membuat siasatan ke atas Soeharto dan keluarganya, dan satu lagi tentera dikehendaki tidak dimasukkan dalam Parlimen.

Pertempuran ganas berlaku antara pelajar yang memprotes kerana bimbang MPR mengetepikan tuntutan mereka mengenai perubahan, dengan kumpulan para tentera yang bertindak “mempertahankan” kawasan parlimen, telah mengakibatkan berlakunya pertumpahan darah yang terburuk sejak kejatuhan Soeharto. Kumpulan para tentera itu, yang mebersenjatakan buluh runcing, telah di bawa ke bandar oleh Menteri Pertahanan Warinto dan Komander Garison Djadja Suparman.

Satu perbalahan yang berlaku lewat petang berhampiran persimpangan Semanggi pada 13 November, bertukar menjadi pertempuran apabila pasukan keselamatan didatangkan dengan bersenjatakan peluru getah, meriam air dan gas pemedih mata. Selepas dua belas jam bertempur, 15 orang terbunuh dan 500 cedera.

Sementara darah mengalir di jalanraya, MPR mempertimbangkang beberapa rangka dekri baharu, termasuk yang ditulis oleh Indonesian Press Society atau MPI. Terdiri daripada lima bab mengharapkan jaminan terhadap hak bersuara dan hak mendapatkan maklumat, dekri berkenaan akhirnya dipinda sehingga menjadi kurang khusus dan dimasukkan ke dalam dekri berkaitan hak asasi manusia.

Dalam satu perbincangan yang dibuat liputan oleh Jakarta Post, Atmakusumah Astraatmadja melahirkan rasa kekecewaannya dan memberi amaran kepada rakyat Indonesia bahawa “perjuangan untuk mendapatkan kebebasan media masih belum berakhir.”

KIra-kira pada waktu inilah MPI merangka draf undang-undang medianya sendiri. Sebagaimana Leo Batubara dari Serikat Perusahaan Pers (SPS) menjelaskan, versi undang-undang terkini kerajaan (Draf 8) masih ada 13 artikel yang memberikan kuasa untuk kerajaan mengawal media menerusi peraturan-peraturan. Ia seperti memberikan kerajaan “cek kosong”, kata beliau.

Jelasnya, kebanyakan mereka dalam Kementerian Informasi juga tidak senang dengan draf undang-undang yang ada, dan pada awal November, menterinya Yunus diam-diam meminta bantuan UNESCO. Salah satu daripada rakan UNESCO dalam memperjuangkan kebebasan media ialah ARTICLE 19, sebuah organisasi antara kerajaan yang bekerja khusus mempertahankan kebebasan bersuara dan hak mendapatkan maklumat sebagaimana yang tertera dalam Artikel 19 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia.

Toby Mendel dari ARTICLE 19 menjelaskan, “Menteri berkenaan sedar bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai kapasiti untuk melanjutkan perkara berkenaan (yakni, mereka tidak tahu bagaimana untuk membuat draf undang-undang media yang demokratik). Menurut Mendel, inilah kali pertama UNESCO memberikan bantuan sebenar dalam menyediakan undang-undang yang memberi kesan kepada kebebasan bewrsuara.

Draf Mendel, yang ditulisnya sewaktu berada di Indonesia pada minggu kedua, menjadi draf ke-9 kementerian berkenaan. Kata beliau, “Saya patut catatkan bahawa Menteri berkenaan, Yunus, memberikan sokongan penuh sepanjang proses itu. Apabila kami bertemu, beliau asasnya memberitahu bahawa beliau telah mengarahkan kakitangannya berbuat apa sahaja menyediakan apa yang saya perlukan bagi menjadikannya selari dengan standard antabangsa. Apabila draf undang-undang media tersebut telah siap, ia dihantar ke Setiausaha Negara untuk dikaji.

Sementara itu, organisasi wartawan mula mengadakan seminar, penjelasan dan program untuk “mengetengahkan” kepada masyarakat awam berkaitan undang-undang berkenaan. Sewaktu pendengaran di Commission 1 Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), yang membincangkan isu media, Yunus bercakap dengan tegas mempertahankan kebebasan media. Sebagai respons kepada kebimbangan yang dibangkitkan oleh beberapa orang ahli Parlimen, beliau menekankan bahawa pada pandangan beliau “media yang ada masih belum melanggar sempadan.”

Pada 23-24 Mac, satu seminar penting bertajuk “Media dan Kerajaan Mencari Penyelesaian” berlangsung di Jakarta. Program berkenaan dirasmikan pembukaannya oleh Presiden Habibie di Istana Negara. Yang pertama bercakap ialah pengasas Tempo, yang menjelaskan bahawa kekecohan dan keganasan yang berlaku dalam tahun sebelumnya boleh dielakkan sekirannya terdapat lebih keterbukaan dan maklumat.
“Sekiranya terdapat dialog yang jujur, sumber maklumat yang diyakini, sumber untuk berhadapan dengan khabar angin yang beracun, maka media bebas boleh memainkan peranan sosial dan tanggungjawabnya,” kata beliau. Seminar itu, yang dianjurkan oleh UNESCO dengan kerjasama Kementerian Informasi, dibiayai oleh Agensi Antarabangsa Kanada bagi Pembangunan.

Sebahagian besar seminar berkenaan memberi fokus kepada ketegangan antara peranan media bebas dalam mempromosikan kebertanggungjawapan dan pentadbiran yang baik dengan hasrat untuk mengawal sikap luar batas media.

Persetujuan yang dicapai, setelah dicanai pada bulan-bulan sebelumnya melalui perdebatan dan perbincangan, ialah para wartawan perlu mempunyai kawalan sendiri, dan majlis media bebas perlu ada bagi menjamin profesionalisme, dan kawalan media era Soeharto – sama ada menerusi undang-undang media, peraturan jabatan, atau peruntukan-peruntukan kanun jenayah – perlu dielakkan seboleh mungkin. Dengan adanya seminar ini, proses mensosialkan masyarakat telah bermula. Langkah seterusnya adalah untuk menyakinkan wakil rakyat dalam Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) – dewan perhimpunan, sebagaimana disebutkan oleh Leo Batubara, yang dipilih hasil pilihan raya umum “tidak demokratik” pada 1997.

Dalam bulan Ogos 1999, DPR mula memperhalusi rang undang-undang berkenaan. Yunus muncul dua kali di hadapan DPR pada 26 dan 27 Ogos untuk mempertahankan dan menjelaskan pandangan kerajaan terhadap rang undang-undang berkenaan, dan pada masa sama menunjukkan ketegasan beliau berhubung perkara-perkara dan isu yang dihadapi pada masa itu.

Tetapi bukanlah sikap tegas menteri berkenaan mempertahankan kebebasan media yang mengagumkan masyarakat media, tetapi kesediaan beliau membenarkan wartawan hadir membuat penjelasan di hadapan DPR. Ia adalah hari yang membanggakan buat masyarakat media Indonesia apabila Atmakusumah Astraatmadja dua Leo Batubara – dua singa kewartawanan Indonesia – muncul di Parlimen sebagai “wakil kerajaan”, mempertahankan Undang-Undang Media, yang mereka juga terlibat membuatnya.

DPR meluluskan rang undang-undang ini pada 13 September 1999 dan 10 hari kemudian Habibie menandatanganinya untuk dijadikan undang-undang. Sebagaimana Atmakusumah berkata melalui tulisannya dalam majalah D&R, ia adalah undang-undang yang mengambil masa 255 tahun yang meletihkan untuk dibuat.

Berdasarkan asas prinsip kebebasan bersuara dan hak untuk mengumpul dan mengedarkan maklumat, Undang-Undang Media 1999, memberi jaminan kepada kebebasan media, menghapuskan lesen yang digunakan untuk mengawal media, membuang keupayaan kerajaan mengharamkan penerbitan, dan menghadkan kuasa kerajaan untuk memperkenalkan syarat-syarat sedemikian. Ia juga membuang syarat dan had yang dikenakan kepada mereka yang ingin terlibat dengan bidang kewartawanan, dan memberi jaminan kepada para wartawan hak untuk menyertai kesatuan pilihan mereka, untuk mencari, mendapatkan, dan menyebarkan idea serta maklumat, bebas daripada ditapis, dan enggan mendedahkan nama sumber mereka.

Juga penting, untuk pertama kalinya, ia menyediakan penalti dan denda atau penjara ke atas mereka yang cuba menghadkan kebebasan media, bukan sebaliknya dan ia membenarkan kawalan sendiri bagi media menerusi penubuhan majlis media bebas. Sukar untuk tidak bersetuju dengan apa yang disimpulkan Tempo. “Jika undang-undang ini benar-benar dilaksanakan sebagaimana ia ditulis, media Indonesia akan melalui pengalaman yang manis seperti madu.”

Walaupun Undang-Undang Media 1999 ini dianggap sebagai “masterpiece”, wartawan Indonesia hari ini masih berhadapan dengan beberapa cabaran yang serius – paling nyata ialah peruntukan fitnah Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) yang bertentangan dengan Undang-Undang Media. Kanun Jenayah mengandungi sekurang-kurangnya 40 klausa yang boleh digunakan terhadap wartawan.

Walaupun Majlis Media bebas (ditubuhkan oleh Undang-Undang Media 1999) sepatutnya menjadi prantara dalam pertelingkahan media, pihak berkuasa terus merosakkan mandatnya dengan membawa tuduhan fitnah ke mahkamah. Walaupun Mahkamah Agung mengeluarkan perintah pada 2005 bahawa Undang-Undang Media 1999 perlu digunakan dalam semua kes membabitkan media, Kitab Undang_Undang Hukum Pidana terus digunakan untuk memfailkan kes fitnah terhadap wartawan dan juga yang lain.

Walaupun kerajaan pentadbiran Hahibie telah menghentikan gangguan kerajaan terhadap media, wartawan Indonesia hari ini masih berhadapan dengan beberapa ancaman, kebanyakannya datang daripada orang awam. Dilihat sebagai “menghina agama” sebenarnya cukup berbahaya. Dalam bulan Jun 2005, pengurusan Radar Sulteng, akhbar terbesar di Pertengahan Sulawesi, secara sukarela menghentikan penerbitan selama tiga hari berikutan protes terhadap pengarang tamunya bagi tulisan bertajuk “Islam, Agama Yang Gagal”.

Biarpun hakikatnya artikel berkenaan memfokuskan kepada kecurian dana Jabatan Agama oleh bekas menteri kabinet, yang didedahkan – ia juga mengenai korupsi dan hipokrasi bukannya soal agama seluruhnya – kesemua ini hilang begitu sahaja pada pengetahuan mereka yang menyerang, juga pihak polis. Penulisnya, seorang pensyarah Universiti Muhammadiyah didakwa “menghina Islam.” Atmakusumah Astraatmadja menjelaskan bahawa malah Majlis Media juga mendapati amat sukar untuk mencari konsensus berkaitan topik ini.

Walaupun sentiasa terdapat pelbagai pandangan tentang siapakah yang selayaknya mendapat sanjungan atas usaha sehingga wujudnya Undang-Undang Media, ia akhirnya adalah wartawan Indonesia – dan pelajar serta kumpulan masyarakat yang menyokong mereka – yang terus memberikan tekanan politik sehingga menghasilkan kebebasan media diinstitusikan. Seperti kata Atmakusumah, inisiatifnya datang daripada Yunus, konteksnya daripada Habibie, tetapi pergerakannya datang dari rakyat Indonesia. “Iklim, persekitaran mendesak dari semua sudut untuk menyokong pergerakan itu,” katanya, “dan merekalah yang mendesak DPR untuk mewujudkan undang-undang baharu itu.”

Sebagaimana peristiwa Arab Spring dalam 2011 telah membuktikan, tanpa media bebas, revolusi yang demokratik tidak akan sempurna atau terjamin. Dalam 1999, sepasukan wartawan antarabangsa menulis mengenai Penilaian Media bagi USAID/Indonesia mencatatkan tentang peri pentingnya kebebasan media dalam peralihan kepada demokrasi di Indonesia:

Barangkali lebih daripada sebarang kemungkinan yang ada (dengan pengecualian terhadap pergerakan pelajar), pembebasan media memberikan impak yang paling besar terhadap peralihan demokrasi Indonesia sehingga ke hari ini … adalah adil untuk berkata bahawa tanpa media bebas dalam tempoh sejak penyingkiran Presiden Soeharto dalam bulan Mei 1998, mungkin tidak mustahil untuk dikatakan bahawa Indonesia akan gagal mencapai perubahan pentadbiran secara harmoni seperti yang berlaku … bahkan perubahan media merupakan perubahan struktur yang paling penting yang menjelma daripada kerajaan Habibie.

Di Indonesia, atas usaha gabungan wartawan, elit politik berfikrah lama, dan kumpulan masyarakat sivil yang berpandangan jauh, yang mengetuai usaha bersejarah mewujudkan Undang-Undang Media 1999, telah memberikan laluan ke arah perubahan sebenar yang kekal.

Malaysia, yang jauh lebih membangun dan kehadapan berbanding Indonesia dari sudut ekonomi 20 tahun dahulu, sewajarnya mengambil pelajaran daripada desakan wartawan Indonesia berhubung reformasi total, bermula dengan undang-undang yang kuat yang menginstitusikan kebebasan media.

Adakah wartawan di Malaysia akan mengetuai desakan ke arah mewujudkan undang-undang yang perlu bagi menjamin perubahan paling penting daripada semua yang lain itu? Ia masih perlu ditunggu untuk dilihat.

 

*Janet Steele merupakan profesor kewartawanan di Universiti George Washington, Amerika Syarikat. Tulisan asal berbahasa Inggeris ini diterjemahkan ke bahasa Melayu dan disiarkan pertama kali dalam buku Revolusi Tanpa Darah, susunan Ahmad Lutfi Othman (2019).