Malaysia Dateline

Adakah Saifuddin arah SKMM siasat Syed Saddiq?

Siasatan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq atas kenyataannya berkenaan kematian Ganapathy dalam tahanan polis, dan juga rampasan telefon bimbitnya adalah amat tidak wajar dan merupakan tindakan yang kasar.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata, pihak polis sepatutnya menjawab komen beliau melalui media rasmi dan bukan menjalankan siasatan terhadap beliau.

“Saya juga terkejut membaca pihak polis dan MCMC ingin masuk dalam akaun Instagram Syed Saddiq demi menyiasat komennya terhadap kematian Ganapathy.

“Apakah salah kritikan Syed Saddiq terhadap kematian Ganapathy dalam tahanan polis? Syed Saddiq hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen dalam hal ini,”soal Teresa.

Katanya, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah haruslah nyatakan sama ada beliau mengarahkan SKMM untuk menjalankan siasatan terhadap Syed Saddiq.

“Rakyat juga ingin tahu samada bekas Menteri Dalam Negeri merangkap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin masih serius terhadap reformasi dalam pasukan polis dan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Saifuddin Abdullah adalah bekas anggota kabinet di dalam kerajaan Pakatan Harapan di mana penubuhan IPCMC adalah salah satu agenda dan dasar kerajaan PH.

“Komen Syed Saddiq adalah sejajar dengan dasar kerajaan PH. Apakah Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Saifuddin Abdullah telah alih daripada dasar ini?

“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin dan anggota kabinet dan Ahli Parlimen PN tidak patut diam bisu terhadap siri kematian dalam tahanan polis,” ujarnya.

Tegas Teresa, mereka haruslah ambil pendirian yang tegas dalam isu ini dan mengarahkan polis untuk menyiasat kematian Ganapathy dan Sivabalan.

“Saya menyeru Perdana Menteri untuk menasihati secara terbuka kepada pihak polis untuk menghentikan segala gangguan terhadap Syed Saddiq dan pulangkan telefon bimbitnya kepada beliau,” katanya.