Adakah sikap Malaysia terhadap Israel sudah berubah, soal AMANAH

Adakah sikap Malaysia terhadap Israel sudah berubah, soal AMANAH

Adakah Malaysia menurut langkah Arab Saudi yang mengadakan hubungan sulit dengan negara haram Israel sehingga memungkinkan sekumpulan diplomat negara Zionis itu memasuki negara ini dengan pasport diplomatik?

Soalan itu dikemukakan pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah yang menganggapnya sebagai tidak mustahil ekoran hubungan rapat pemimpin negara ini dengan Arab Saudi.

Beliau turut menyifatkan Malaysia sebagai ‘pak turut’ kepada negara kaya seperti Arab Saudi dan berkuasa seperti China sehingga hilang kedaulatan dan harga diri.

” Sejak beberapa hari lepas berbagai komen dan kritikan telah dibuat tentang tindakan Kerajaan Malaysia membenarkan beberapa pegawai tinggi kerajaan Israel memasuki Malaysia dengan senyap-senyap. Sehingga hari ini tidak ada apa-apa kenyataan dari Kerajaan tentang isu tersebut.

“Sikap tidak menjawab isu yang penting dan sensitif kepada umat Islam yang mengambil berat isu Palestin adalah tidak bertanggung jawab,” kesal beliau.

Menurut Raja Bahrin, rakyat menuntut jawapan segera dalam isu ini dan sikap berdiam diri kerajaan BN membayangkan seolah-olah ada sesuatu yang hendak di sembunyikan.

“Rakyat marah dan amat kecewa dengan kerajaan yang pernah mengajak rakyat berdemonstrasi mengutuk Israel untuk kepentingan mencari populariti dan saham politik.

“Sekarang secara senyap-senyap kerajaan membenarkan pegawai tertinggi Israel memasuki Malaysia untuk seminggu dan apabila disoal bagaimana ini boleh berlaku, kerajaan pimpinan Najib membisu,” kesal beliau.

Davit Roet bergambar di ruang pameran WUF yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Ahli parlimen Kuala Terengganu itu juga inginkan penjelasan sama ada kerajaan Malaysia telah menukar sikapnya terhadap Israel atau tidak mempunyai polisi yang jelas tentang isu antarabangsa?

“Malaysia hari ini kelihatan menjadi ‘pak turut’ negara kaya seperti Arab Saudi dan yang berkuasa seperti negara China. Malaysia sudah hilang kedaulatan dan harga diri.

“Apabila Arab Saudi mempunyai hubungan sulit dengan Israel seperti didedahkan oleh Menteri Israel, Malaysia pun turut hendak ikut. Apabila Arab Saudi menyerang Yaman, Malaysia pun turut bersubahat dalam hal tersebut.

“Apabila negara China minta kaum Uighur Islam yang ditindas di negara China diserahkan secara paksa, Malaysia akur,” katanya.

Menurut Raja Bahrin, maruah umat Islam negara ini tercabar hebat dalam isu ini sedangkan kerajaan dilihat semakin hilang kredibiliti.

“Jangan membisu. Berkatalah kamu walaupun ia mungkin pahit untuk kami semua mendengar,” ujarnya.

Beberapa laman portal berita dalam negara 13 Feb lalu melaporkan satu delegasi dari Israel yang terdiri daripada diplomat-diplomat kanan telah dibenarkan masuk ke Malaysia untuk menyertai World Urban Forum (WUF) ke-9 di Kuala Lumpur.

The Times of Israel memetik jurucakap Kementerian Luar Israel mengesahkan pasukan diplomat kanan itu diketuai bekas timbalan duta negara itu ke PBB David Roet.

Roet, yang memasuki Malaysia menggunakan pasport diplomatik Israel, turut mengadakan pertemuan dengan pegawai Malaysia, menurut laporan itu.

Dalam beberapa kiriman di Twitter, Roet menyifatkan lawatannya ke Malaysia ‘pengalaman unik’, dan menambah beliau ‘berbangga mengetuai delegasi rasmi Israel’.

7.0
OVERALL SCORE
: 7.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS