Malaysia Dateline

Adakah surat akuan SD MP Bersatu adalah sah, boleh digunakan?

Dalam undang-undang khususnya undang undang kontrak, jika ada mana-mana klausa yang mengandungi kata-kata seperti “tertakluk kepada”.. atau dalam bahasa inggeris “subject to..” maknanya, ia sebuah kontrak yang belum lagi bersifat muktamad, maka ia tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.

Dalam konteks kes yang berlaku sekarang, pada hemat saya, bagi membolehkan Yang
di-Pertuan Agong menggunakan budi bicaranya untuk melantik seorang bakal Perdana Menteri atau PM “yang pada kepercayaaan baginda mendapat keyakinan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, “adalah penting sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat dalam bentuk apa pun misalnya SD kepada bakal Perdana Menteri itu WAJIB bersifat muktamad dan konklusif. Tidak boleh BERSYARAT.

Tidak boleh sama sekali sokongan bersyarat. Sebab itu dalam surat YB Speaker kepada para Ahli Parlimen bertarikh 17 Ogos 2021 secara jelas surat tersebut menyatakan hasrat Yang Dipertuan Agong itu – rujuk perenggan 4 disyarat ( C ).

Bagi saya, kehendak Yang Dipertua Agong itu bukan sahaja betul dari segi undang-undang dan Perlembagaan. tetapi ia juga amat logik.

Logiknya, bagaimanakah Yang Dipertuan Agong boleh melaksanakan tugas dan fungsi
perlembagaannya seandainya sesuatu sokongan itu mengandung unsur-unsur tidak jelas seperti ianya sokongan bersyarat dan tidak muktamad seperti boleh dilihat dalam ayat di perenggan ke-6 kenyataan media rasmi YB Mahiaddin bertarikh 19 Ogos 2021.

Dalam konteks parti politik dan sistem whip yang diamalkan sekarang, sokongan para Ahli Parlimen itu tidak boleh lari dari arahan pemimpin tertingginya.

Dalam konteks kes ini, kenyataan media YB Mahiadin sebagai Pengerusi Parti Pribumi
Bersatu dan Perikatan Nasional itu sudah tentu mengikat paling kurang seluruh Ahli Parlimen Bersatu, jika pun diandaikan tidak mengikat para Ahli Parlimen parti-parti lain dalam Perikatan Nasional.