Malaysia Dateline

Adakah terdapat agenda tersembunyi di Bukit Kledang, soal MP Ipoh Barat

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran mempersoalkan sama ada terdapat agenda tersembunyi di sebalik cadangan pelaksanaan bayaran permit tahunan bagi memasuki Bukit Kledang.

Wakil rakyat DAP tersebut menegaskan Bukit Kledang di kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong, Daerah Kinta itu menjadi lokasi penduduk tempatan segenap peringkat usia untuk mendaki bukit, berjoging, berkelah dan ekspedisi alam semula jadi.

“Adakah terdapat perjanjian rahsia di sebalik pintu tertutup untuk membenarkan syarikat swasta mengurus dan mengutip bayaran (permit tahunan)?

“Adakah terdapat kebenaran dalam hal ini?” soalnya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau dalam masa sama mengingatkan bagaimana lebih 20 tahun lalu kerajaan Perak iaitu ketika pentadbiran BN telah bercadang untuk melakukan pembangunan perumahan di kawasan hutan itu.

“Jangan lupa apa yang Kerajaan Negeri nak buat dengan Bukit Kledang pada tahun 1998/99. Kerajaan negeri telah mengasingkan seluruh Bukit Kledang kepada pemaju untuk pembangunan perumahan,” ujarnya.

Ekoran itu, Kula Segaran berkata, penduduk Ipoh dan pendaki bukit membantah keputusan yang tidak wajar, tidak bertanggungjawab dan merosakkan ini dengan melancarkan kempen “Selamatkan Bukit Kledang”.

M. Kula Segaran

“Selepas bantahan fizikal, kerajaan negeri bersetuju membatalkan pemberian hak milik dan memberi aku janji/komitmen untuk memelihara bukit-bukit sebagai tempat riadah penduduk Ipoh,” katanya.

Kelmarin, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri menangguhkan sementara bayaran permit tahunan bagi memasuki Bukit Kledang itu sehingga satu kenyataan dibuat berkaitan keputusan tersebut.

Saarani berkata, keputusan tersebut turut akan dibincangkan di dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri.

Mengulas pengumuman Menteri Besar berkenaan, Kula Segaran berkata, penangguhan yang bukannya pembatalan sepatutnya adalah melanggar aku janji yang diberi, bercanggah dengan dasar dan kepentingan awam serta melanggar hak asasi manusia.

Kulasegaran bersama pendaki Bukit Kledang.

Sehubungan itu, Kula Segaran berkata, adalah wajar untuk mengambil iktibar dari pengalaman lalu sebagai rujukan dan membatalkan bayaran permit itu secara kekal dengan permohonan maaf secara terbuka.

“Saya menggesa kerajaan negeri mengekalkan aku janji yang diberikan.

“Jangan ambil mudah dan perkenalkan sekatan yang akan menyekat hak mereka terhadap aktiviti berkaitan kesihatan dan hak sedia ada untuk menjadi sebahagian daripada alam semula jadi,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai menandatangani dan menghebahkan petisyen dalam talian, “Tolak yuran pas tahunan untuk Bukit Kledang Hikers” https://chng.it/47GsmLLQ

Orang ramai juga diseru menandatangani secara fizikal petisyen ‘Bantah Pelaksanaan Permit Masuk Bukit Kledang” yang dimulakan Ahli Parlimen Batu Gajah, Sivakumar.

Baca juga Thailand benarkan tanam ganja, kini bukan lagi tergolong dalam senarai dadah