Malaysia Dateline

Adakah usaha menyatukan Pas-Umno libatkan wang ringgit?

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan didesak untuk berterus terang sama ada penyatuan antara dua parti Melayu, Pas dan Umno sebenarnya mempunyai kaitan dengan tawaran wang ringgit.

Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan berkata, ini kerana kelakuan parti itu amat ketara perbezaanya berbanding sewaktu Muktamar Pas dan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dahulunya keras menentang kerjasama dengan Umno.

Katanya lagi, sebelum ini Pas lantang menafikan dakwaan kerjasama tersebut dan memperlekehkan soalan-soalan ahli bawahan yang mempersoal langkah mereka.

“Namun, hari ini para pengkhianat perjuangan asal Pas tanpa segan silu mengaku usaha ini telah dilakukan sejak 2015 lagi atas arahan Presiden.

“Takiyuddin perlu jelaskan, adakah usaha menyatukan Pas dan Umno ini melibatkan wang ringgit?

“Ahli Pas diseru untuk menghukum pemimpin yang telah menipu dan mengkhianati perjuangan Almarhum Tok Guru Nik Aziz,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Pas beberapa kali menafikan sekeras-kerasnya andaian yang mengatakan parti itu akan bergabung dengan parti Umno.

Bagaimanapun baru-baru ini, Takiyuddin mendedahkan usaha untuk Pas bekerjasama dengan Umno telah dimulakan sejak tahun 2015 lagi khasnya sebaik sahaja beliau jadi Setiausaha Agung parti.

“Usaha ke arah penyatuan Melayu dimulakan sejak 2015 selepas saya diamanahkan sebagai Setiausaha Agung Pas, usaha itu atas arahan Presiden,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Pas Kota Bharu di Dewan Jubli Perak MPKB BRI.

Sementara itu, Hazmi turut meminta agar Takiyuddin menjelaskan apakah usaha-usaha yang telah dilakukan mereka bagi menyatukan Pas dan Umno.

Beliau turut mempersoalkan, adakah fitnah, adu domba, khianat dan pelbagai lagi gerak saraf kotor Muktamar Pas yang mengakibatkan beberapa pimpinan jatuh itu juga salah satu usaha bagi menyatukan Umno bersama mereka.