Malaysia Dateline

‘Adakah yang gagal itu Umno? Sebab itu dia tarik diri dari kerajaan sendiri’

Kerajaan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin ibarat telah dihina oleh Umno dengan ungkapan tanda pagar #kerajaangagal yang dijadikan alasan untuk menarik diri daripada mengekalkan sokongan kepada perdana menteri.

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, adakah yang gagal itu adalah Umno sendiri kerana 19 menteri dan timbalan menterinya berada di dalam Kabinet Perikatan Nasional hari ini.

“Hairan juga, adakah Umno mengatakan pada diri sendiri kerana Timbalan Perdana Menteri Umno dan Menteri Kanan Umno baru sahaja dilantik kelmarin.

“Menteri Vaksin, Menteri Kesihatan, Menteri Pertahanan, Sukan, Perpaduan, Pengajian Tinggi, Menteri Luar dan ramai Timbalan Menteri adalah dari Umno.

“Apakah yang gagal adalah Umno dan sebab itu dia menarik diri dari kerajaannya sendiri?,” soalnya sinis dalam kenyataan awal pagi ini.

Pengerusi Pakatan Harapan Perak itu berkata, keputusan Umno yang diumumkan semalam, merintis jalan kepada kejatuhan kerajaan PN tetapi alternatif sebuah kerajaan kuat dan stabil seperti titah Yang di-Pertuan Agong masih belum kelihatan.

Ketika ini, PH kekal blok terbesar dengan 89 Ahli Parlimen namun masih tidak cukup untuk membentuk kerajaan.

Mujahid berkata, baki jumlah sokongan “strong and formidable majority” masih ada di tangan blok Barisan Nasional (BN), parti Sabah dan Sarawak, manakala fraksi Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin menanti peluang.

Beliau berkata, jatuhnya PN secara teknikal adalah jatuhnya kegagalan, keangkuhan dan lebih utama satu pengkhianatan.

“PH kekal konsisten mahukan mandat rakyat dikembalikan. Umno tarik diri dari PN dan jelas dari kenyataan Presidennya mahukan PRU setelah kelompok imuniti tercapai.

“Rakyat menderita, ekonomi dalam bahaya, Covid-19 terus meningkat. Amat malang bagi negara ini terpaksa melalui musibah ini. Tapi sekurangnya satu kegagalan dan pengkhianatan telah diakhiri.

“Sekali lagi kebijaksanaan Tuanku diperlukan bagi merealisasikan kerajaan yang kukuh dan stabil untuk menangani Covid-19 dan ekonomi yang parah,” katanya lagi.