Malaysia Dateline

Adalah MP Bintulu bercakap bagi pihak Menteri ketika menyerang KP Kesihatan?

Adakah ahli Parlimen BN, Datuk Seri Tiong King Sing bercakap bagi pihak Menteri Kesihatan apabila beliau menyerang Ketua Pengarah Kesihatan di Parlimen kini menjadi pertanyaan pelbagai pihak.

Ini kerana, Ahli Parlimen Bintulu adalah Duta Khas Kerajaan ke Negeri China yang dilantik oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagi ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, tindakan Tiong bertentangan dengan kehormatan Parlimen apabila menyerang Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah di Parlimen semalam.

Tiong telah menuduh yang Dr Noor Hisham sebagai “takut mati” kerana tidak berada di Sabah untuk mengikuti perkembangan terkini wabak Covid-19.

“Adakah Tiong telah membuktikan yang “beliau tidak takut mati” apabila beliau telah pergi ke Sabah daripada Bintulu semasa Pilihan Raya Negeri Sabah?” tanya beliau.

Sehubungan itu, kata veteran DAP Lim Kit Siang, kenyataan Ahli Parlimen DAP dari Jelutong, RSN Rayer tepat.

Rayer telah dihalau keluar dari Parlimen apabila beliau bertegas agar Tiong memohon maaf atas tindakan beliau.

“Tiong patut memohon maaf atas serangan tidak berasas beliau terhadap Ketua Pengarah Kesihatan.

“Malah, saya ingin bertanya Tiong, sama ada beliau bercakap bagi pihak Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, apabila beliau menyerang KP Kesihatan di Parlimen,” kata beliau dalam kenyataannya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu bertanya, mengapakah Tiong tidak mengarahkan kemarahan beliau kepada Menteri Kesihatan, yang telah membuktikan reputasinya sebagai seorang Menteri Kesihatan yang halimunan selepas beberapa siri kesilapan “air suam”, “500 negara”, dan “15 negeri” beliau?