Malaysia Dateline

Adam Azizi, Aliff Azizi harus dijadikan ikon remaja Pulau Pinang

Kerajaan Negeri Pulau Pinang disarankan supaya menjadikan Aliff Azizi, 15 tahun, Juara Dunia dan Adam Azizi, 17 tahun yang juga merupakan Naib Juara Dunia bagi kejohanan Muay Thai ke 16 yang diadakan di Bangkok baru-baru ini sebagai ikon remaja bagi negeriĀ  Pulau Pinang.

Demikian dinyatakan oleh Adun Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad, ketika ditemui semasa sambutan meraikan kedua-dua tokoh remaja dunia tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Air Tawar, Butterworth,pada Jumaat.

Jelas beliau lagi, kedua-dua remaja tersebut telah berjaya mengharumkan nama negeri Pulau Pinang dan juga negara sehingga ke peringkat dunia.

“Sekaligus kejuaraan mereka mengangkat nama negeri ini dan juga negara ke persada antarabangsa buat julung-julung kalinya.

“Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kedua-dua remaja tersebut akan dijadikan ikon remaja bagi Dun Teluk Air Tawar.

“Adalah diharapkan jasa yang mereka taburkan buat pertama kalinya negara dinobatkan sebagai juara peringkat dunia diberi sokongan sehingga ke peringkat pusat, ” tegasnya lagi.

Mustafa Kamal diapit oleh Aliff Azizi (kanan) dan Adam Azizi (kiri) diraikan semasa sampai ke Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Air Tawar.

Malah kata Mustafa Kamal lagi, kemenangan yang diraih oleh kedua-dua saudara tersebut bukanlah suatu perkara yang mudah kerana ia disertai oleh 60 buah negara di seluruh dunia.

Sementara itu Aliff Azizi yang menjadi juara bagi kategori 45 dan 48 kilogram ketika ditemui menzahirkan rasa bangga kerana menjadi juara dunia buat kali pertama.

“Kemenangan buat kali pertama peringkat dunia ini memberi semangat untuk saya terus menaikkan nama negeri Pulau Pinang dan juga negara.

“Sebenarnya ia tidak mudah kerana terpaksa berhadapan dengan peserta luar negara yang lebih besar dan tangkas.

“Tapi taktik dan teknik yang diajar oleh jurulatih ternyata memberi kemenangan dan berjaya menggondol pingat emas untuk negara, ” ujarnya.

Manakala Adam Azizi pula berkata, walaupun ia hanya menjadi Naib Juara Dunia bagi kategori 54 dan 57 kilogram, tetapi ia berbaloi apabila berjaya menempa sejarah buat negara.

“Latihan bersungguh-sungguh ternyata berjaya membawa kemenangan yang diharapkan buat pertama kalinya untuk negara.

“Namun begitu ia tidak mematahkan semangat untuk sekali lagi mencuba bagi menjuarai kategori tersebut pada masa yang akan datang.

“Cumanya agihan masa untuk pelajaran dan sukan ini memerlukan pengorbanan yang besar, ” tegasnya.

Kedua-dua mereka sedang belajar dalam tingkatan tiga dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Air Tawar.