Adam Rosly dakwa Rafizi selindungi butiran dana Invoke-NOW

Adam Rosly dakwa Rafizi selindungi butiran dana Invoke-NOW

Setelah tidak berpuashati dengan saranan Rafizi Ramli agar Datuk Adam Rosly Abdullah bercuti, hari ini, Ketua AMK Ampang itu pula mendedahkan kepincangan yang berlaku dalan dua NGO yang diuruskan oleh Naib Presiden PKR itu- Invoke dan NOW.

“Demi kepentingan parti dan orang ramai, saya tidak boleh berdiam diri lagi.

“Saya dan ramai pemimpin parti dan aktivis telah lama bersabar dengan beliau bagi memelihara perpaduan dan reputasi Keadilan. Walau bagaimanapun, kepentingan awam perlu diberi keutamaan.

“Kebimbangan terbesar adalah terhadap kutipan dana secara besar-besaran daripada orang ramai bagi pihak Rafizi- NGO Invoke dan NOW.

” Ini koleksi wang daripada orang awam secara berterusan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Adam Rosly sesuatu yang aneh apabila Ahli Parlimen Pandan itu gagal untuk mendedahkan butiran pengumpulan dana terhadap dua NGO itu.

“Walaupun beliau sering menyeru semua pihak, iaitu BN dan pembangkang, untuk mengisytiharkan aset mereka.

“Dalam usaha untuk mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap Keadilan dan pembangkang, dan selaras dengan prinsip yang kerap beliau laungkan iaitu prinsip ketelusan, saya menyeru Rafizi Ramli mendedahkan dalam masa 48 jam bermula hari ini,” tegasnya.

Adam Rosly minta Rafizi memberikan penjelasan terhadap tiga perkara:

i) Jumlah wang yang telah dikumpulkan daripada orang ramai oleh NGO beliau Invoke dan NOW.

ii) Nyatakan bagaimana wang telah dibayar setakat ini.

iii) Menyatakan nama semua individu yang telah menerima dana yang dikumpul oleh Invoke.

Justeru katanya lagi, sekiranya Rafizi gagal mematuhi tuntutan ini, beliau akan mengambil tindakan sewajarnya demi memelihara keyakinan orang ramai terhadap PKR dan Pakatan Harapan.

Adam Rosly, 29, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 21 April lalu.

Dia berdepan enam tuduhan membabitkan kesalahan memberi keterangan dan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim memutuskan 29 Mei ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

Baru-baru ini Rafizi dalam kenyataannya bagi memulihkan imej PKR yang tercalar teruk berikutan kes tersebut baru-baru ini menggesa Adam Rosly supaya bercuti dari jawatannya.

Beliau mendakwa kononnya PKR amat tegas mengenai perkara-perkara yang bersabit dengan tadbir urus dan integriti maka satu tindakan akan diambil untuk menjarakkan kemelut peribadi Adam dengan PKR.

Mengulas perkara itu, Adam Rosly berkata, beliau mengambil keputusan bercuti daripada memegang jawatan Ketua Pemuda PKR Ampang dan telah menyerahkan surat berkenaan perkara itu kepada Presiden PKR dan Ketua PKR Ampang bukan kerana Rafizi tetapi ia tindakan yang wajar perlu dilakukannya.

COMMENTS

Wordpress (0)